Thursday, December 5, 2019

Lafaz talak melalui Whatsapp sah jika...

Suraya Roslan
 
 

LAFAZ talak melalui Whatsapp yang jelas daripada suami kepada isterinya adalah sah sekiranya disertakan dengan niat.

Bagaimanapun, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden seperti itu adalah kaedah yang tidak menepati adab perceraian yang digariskan syarak.

Dr Zulkifli berkata, lafaz cerai menerusi Whatsapp termasuk dalam bahagian kinayah (samar-samar) dan bukannya sarih (jelas).

“Ini bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-59, talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimili, pesanan ringkas (SMS), e-mel dan sebagainya adalah talak secara kinayah dan ianya adalah sah sekiranya disertai dengan niat.

“Semua perceraian hendaklah dikemukakan kepada mahkamah syariah untuk mensabitkan talak berkenaan,” katanya dalam ruangan Al-Khafi li al-Fatawi: 1014 bertajuk ‘Cerai Menggunakan Aplikasi WhatsApp’.

Menurutnya, talak yang diucapkan melalui SMS atau Whatsapp termasuk dalam talak kinayah iaitu talak tidak akan berlaku melainkan apabila suami berniat menceraikan isterinya.

“Ini kerana, pesanan ringkas ini termasuk dalam khabar (berita) yang boleh jadi benar dan boleh jadi dusta.

“Apabila berlaku perkara seperti ini, suami akan ditanya akan niatnya, jika dia memang berniat untuk menceraikan isterinya, maka dikira jatuh talak berkenaan, jika sebaliknya maka tidak akan dikira,” katanya.

Ketika ini, tular berita mengenai Dai Farhan menceraikan isteri pertamanya dengan talak satu yang dibuat menerusi ‘voice note’ di WhatsApp.

Malah, wartawan Harian Metro turut mendapat ‘voice note’ berdurasi 12 saat itu dan dalam rakaman itu jelas Farhan menyebut nama bekas isterinya seterusnya menceraikannya dengan talak satu.

No comments: