Saturday, December 21, 2019

Kesal masjid jadi agenda peribadi pemimpin politik

Kumara Sabapatty
MGF20122019_NAJIB-LAFAZ-SUMPAH01
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melafazkan sumpah laknat menafikan beliau mengarahkan bekas Inspektor Azilah Hadri membunuh model Monggolia, Altantuya Shaaribuu di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 
 

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Najib Razak melafazkan sumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru semalam  menafikan pembabitannya dengan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaaribuu memperlihatkan sikap terdesak dan gopohnya bekas perdana menteri itu.

Kerana keghairahannya mahu ‘menyucikan’ dirinya, Najib sanggup mengenepikan peraturan dan larangan dengan menjadikan rumah Allah untuk tujuan politik sempit dan kepentingan peribadi, kata Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Zon Titiwangsa itu dalam satu kenyataan hari ini mendakwa, sikap Ahli Parlimen Pekan itu seumpama menganggap dirinya masih berkuasa dan menjadi pemimpin negara yang boleh mengarahkan mana-mana pihak untuk tunduk dengan kehendaknya.

“Tindakan beliau (Najib) melafazkan sumpah laknat dilihat sangat terdesak dan terburu-buru dalam keadaan kes pendengaran permohonan pendengaran Azilah Hadri akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan pada 1 April 2020.

“Demi mengelakkan dirinya dari didakwa serta prejudis rakyat ke atasnya, beliau sanggup memperalatkan kemuliaan institusi Masjid untuk membersihkan diri dengan melakukan sumpah laknat yang tidak selari dengan Islam dan sistem perundangan negara apatah sumpah laknat tidak terpakai dalam kes-kes jenayah, lebih-lebih lagi kes bunuh seperti ini.

“Bagi umat Islam, tidak sukar untuk kita memahami bahawa dalam keadaan terdesak seseorang sanggup melakukan apa sahaja demi menyelamatkan diri daripada dihukum. Terlebih lagi jika ia melibatkan nyawa, maruah dan kehormatan diri,” dakwanya dalam kenyataan yang sama.

Bahkan tambah Ahmad Zamri, seakan menjadi budaya, Najib menggunakan masjid untuk membuktikan kesucian diri dengan bersumpah laknat seperti Saiful Bukhari sebelum ini yang juga bersumpah laknat di sebuah masjid di Wilayah Persekutuan walaupun umum mengetahui terdapat banyak keraguan di sudut perundangan dalam kes tersebut.

Dalam hal ini, katanya beliau menyesal dengan kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan pihak Jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Baru serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Sepatutnya pihak Jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Baru dan JAWI bertindak tegas dengan menyekat usaha itu dengan tidak membenarkan sebarang agenda politik murahan dan peribadi digunakan di masjid dan rumah Allah, tambahan pula pada hari Jumaat yang mulia.

“Masjid perlu dihormati sebagai rumah Allah yang perlu dimuliakan, disanjung serta tempat penyatuan umat Islam, bukannya diremeh dan diperalatkan untuk kepentingan pihak tertentu,” ujarnya.

Menurut Ahmad Zamri, Najib sepatutnya ‘membersihkan’ dirinya di Mahkamah melalui dakwaan itu kerana kesnya terlalu berat apatah lagi melibatkan jenayah pembunuhan berprofil tinggi dan salah guna kuasa beliau sebagai pemimpin negara sewaktu kejadian tersebut.

“Jika sumpah laknat di masjid boleh digunapakai untuk mengenepi atau menafikan sesuatu kes, sudah tentu ramai penjenayah dan pembunuh akan melakukan perkara yang sama demi mengelakkan dihukum.

“Jangan cemarkan institusi dan kesucian masjid serta meruntuhkan integriti sistem perundangam negara dengan perkara yang jelek seperti ini,” katanya.- MalaysiaGazette

No comments: