Ini bukan isu agama tapi keruntuhan moral, akhlak: Firdaus Wong
BANGI
– Iklan kontroversi memaparkan gambar seorang gadis muda memegang erat
seorang lelaki berusia bukan isu agama Islam sebaliknya isu keruntuhan
moral dan akhlak, tegas Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung.
Beliau yang juga Presiden Multiracial
Reverted Muslim (MRM) berkata, perkara ini menampakkan sikat hipokrit
golongan pejuang hak asasi manusia dan liberal yang sentiasa mencari
ruang menyerang Islam, tetapi menjadi ‘syaitan bisu’ apabila isu
sebegini timbul dalam masyarakat.
“Justeru, saya berharap pihak berkuasa
melakukan tindakan proaktif dalam menangani iklan seperti ini. Ya,
mungkin mereka akan menafikan ini bukan pelacuran tetapi seperti ‘match
making’. Istilah Bahasa Inggeris yang bombastik digunakan bagi
melariskan maksiat.
“Apabila syarat menjadi sugar daddy
mestilah ‘fully loaded’ maksudnya kewangan yang stabil untuk membiayai
sugar baby yang mahukan kehidupan mewah, dan kedua-dua individu boleh
dipertemukan dan bersama, andai bersetuju kepada terma dan syarat secara
bersama.
“Maka, apakah beza dengan pelacuran di
mana pelanggan bersetuju membayar sekian jumlah untuk mendapatkan
pulangan seksual manakala pelacur mendapat pulangan wang atas khidmat
seks yang ditawarkan?,” soalnya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, tular di media sosial, iklan
perkhidmatan janji temu ‘sugar daddy’ menerusi papan iklan elektronik,
di Bangsar dan Bukit Kiara. Difahamkan iklan itu mula operasi sejak 3
Disember lalu.
Iklan berkenaan memaparkan wanita muda
memeluk bahu seorang lelaki berusia dipercayai bagi mengiklankan
aplikasi ‘Sugarbook’ yang boleh didapati di Google Play.
Berdasarkan Facebook rasmi Sugarbook,
pihaknya menawarkan hadiah keahlian premium secara percuma kepada
pengikut Facebook yang bertuah.
Menerusi status di Facebook itu, pengguna
hanya perlu mengambil gambar atau video papan iklan elektronik
tersebut, kemudian tag pada Facebook dan Instagram Sugarbook, dan
seterusnya hantaran itu perlu dikongsi di dinding Facebook dan Instagram
masing-masing.
Bagaimanapun, iklan berkenaan mendapat kecaman netizen kerana perkhidmatan yang ditawarkan melampaui batas.
No comments:
Post a Comment