Sunday, December 22, 2019

Elaun ahli majlis tak boleh diselaras kerana ada PBT tak mampu, kata Zuraida




AMPANG: Penyelarasan elaun ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara belum boleh dilaksanakan kerana masih terdapat PBT yang belum berkemampuan, kata Zuraida Kamaruddin.

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu menjelaskan kenaikan elaun ahli-ahli majlis tertakluk pada kapasiti PBT, bukan daripada kementerian.

“Kementerian melihat perlu ada satu penyelarasan tapi saya pun tidak boleh buat penyelarasan kerana ada PBT yang lemah, PBT yang masih tidak mampu, dan kementerian juga tidak mampu menampung.

“Ketika ini kita biarkan dulu di peringkat PBT menentukan kadar elaun, tapi kalau PBT itu meningkat pendapatannya sudah tentu mereka boleh beri elaun yang tinggi,” katanya ketika ditemui di satu pertandingan bola sepak hari ini.

Beliau ditanya adakah kementeriannya akan selaraskan kadar elaun semua ahli majlis memandangkan beberapa PBT mengumumkan kenaikan sekali ganda.

Kerajaan Johor baru-baru ini menggandakan elaun bulanan ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru dari RM900 kepada RM1,800 mulai 1 Jan tahun depan.

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon, berkata bagi ahli majlis perbandaran pula, elaun mereka dinaikkan kepada RM1,300 daripada RM800, manakala ahli majlis daerah pula daripada RM600 kepada RM1,000.

No comments: