Sunday, December 1, 2019

China perlu terima Islam dalam dasar pembangunan negara

ainulillia  

 

Penindasan etnik Uyghur tak akan selesai masalah ekstremisme: Mapim

BANGI – China tidak akan sesekali dapat mengatasi apa yang disebut mereka sebagai ‘ekstremisme’ dengan cara penahanan besar-besaran dan menindas etnik Islam Uyghur di negara itu.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan, penindasan yang dilakukan republik itu ketika ini tidak akan berjaya dalam menghentikan kepercayaan serta keimanan seseorang terhadap agama.

Sebaliknya, katanya lagi, China perlu menerima Islam sebagai sebahagian daripada dasar dalam pembangunan kebangsaannya.

“China mesti menyangkal idea kegilaan Islamofobia yang nampaknya diambil dari barat. Barat mempunyai pandangan yang menyimpang daripada Islam, menyamakan keganasan dengan agama, sambil membenarkan dasarnya untuk mengenakan tindakan keras dan tidak adil terhadap ‘pengganas Islam’.

“Barat mempunyai sejarah permusuhan terhadap Islam dalam usaha melancarkan perang, sehingga mempromosikan Islamofobia sebagai dasar arus utama pemerintah.

“China hanya menempah jalan untuk kegagalan jika ia mengambil jalan yang sama seperti barat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan, kini terdapat 1.5 juta etnik Uyghur ditahan di kem tahanan atas nama pendidikan semula (re-education program), walhal ia adalah kem tahanan penyeksaan yang sangat berat di China.

Tidak ramai yang mengetahui kesengsaraan sebenar dilalui etnik Uyghur yang berasal dari negara Turkistan Timur yang pernah berdaulat. 

Kini wilayah itu berubah nama menjadi Xinjiang, di bawah pemerintah kerajaan China berideologi komunis. 

Seperti warga Palestin yang kehilangan bumi Palestin menjadi Israel pada 1948, warga Rohingya kehilangan bumi Arakan menjadi Rakhine juga pada 1948, etnik Uyghur turut kehilangan bumi Turkistan Timur menjadi Xinjiang pada 1949.

Pada masa sama, Mohd Azmi berkata, adalah ironi apabila China sering terlibat dengan negara-negara muslim untuk kepentingan perdagangan, namun ia masih terperangkap dalam pandangannya bahawa Islam dan umat Islam adalah ancaman kepada keamanan serta kestabilan.

“Kami mempersoalkan semasa China kukuh dalam usahanya untuk melabur di negara-negara Islam, mengapa ia melihat bahawa menjadi orang Islam adalah ancaman kepada kestabilan.  

“Melabur di negara-negara Islam nampaknya menjadi sasaran perdagangan utama oleh China,” katanya.

Mohd Azmi turut menekankan bahawa China mengambil jalan yang salah untuk keamanan dan kestabilan negaranya dengan menindas Islam. 

“Islam tidak akan dapat dihalang kerana ia mempunyai kehadiran tamadun yang panjang di China.

“Walaupun pegawai-pegawai China telah menafikan langkah-langkah menindas yang diambil terhadap umat Islam terutamanya etnik Uyghur, bukti dengan realiti yang bertentangan dari mangsa ada banyak.

“Sekiranya China mahu diterima sebagai negara yang mesra kepada umat Islam, dasar yang menindas terhadap Uyghur dan umat Islam Cina mesti dihentikan dan penglibatan yang lebih konstruktif dan tulen mesti dijalankan,” katanya.


No comments: