Sunday, December 15, 2019

Azmin dakwa saman agensi pelancongan ada kaitan 'konspirasi' video seks

MALAYSIAKINI




Kes tuntutan mahkamah yang difailkan oleh agensi pelancongan terhadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali menyaksikan babak baru.

Dalam tuntutan balas yang difailkan oleh peguam Azmin, Tetuan Daim & Gamani, saman oleh agensi pelancongan itu disifatkan mempunyai motif tersembunyi.

Tuntutan balas Azmin itu menyatakan saman oleh agensi pelancongan YHA Travels & Tours (M) Sdn Bhd itu mempunyai kaitan dengan "konspirasi" klip video seks yang didakwa melibatkan Azmin dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Pemfailan yang dilihat oleh Malaysiakini itu merujuk klip video seks berkenaan sebagai "video fitnah".

Pemfailan yang dibuat semalam itu menyatakan bahawa pemegang saham majoriti YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd adalah Yasmin Hanim Arbee dan suaminya Mohd Ayub Hassan merupakan pengerusi.

Pasangan suami isteri itu disebut sebagai ibu bapa kepada seseorang bernama Mohd Haziq Hassan Mohd Ayub.

Mohd Haziq dikatakan merupakan individu yang ditahan dalam siasatan polis berhubung klip video seks.

Tuntutan balas itu juga menyatakan bahawa Yasmin dan Mohd Ayub mempunyai "hubungan yang sangat rapat" dengan presiden PKR, Anwar Ibrahim.

"Pemfailan saman ini oleh plaintif (YHA) adalah bukan untuk menjaga hak Plaintif tetapi untuk tujuan yang lain yang direka untuk mencederakan defendan (Azmin)," kata pemfailan itu.

"Konspirasi yang berkaitan dengan video-video fitnah adalah didalangi oleh pemimpin sebuah parti politik," tambahnya.

Pemfailan itu juga mendakwa penyata tuntutan YHA telah dibocorkan kepada Iaman web Sarawak Report.

"Sarawak Report tidak mungkin boleh mengetahui mengenai pemfailan writ dan penyata tuntutan ini atau mendapatkan salinan tersebut tanpa bantuan plaintif (YHA).

"lni menyokong penyataan defendan bahawa terdapat tujuan lain di dalam membawa tindakan (mahkamah) ini," katanya.

Azmin menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk ganti rugi teladan, kos; dan relif-relif lain dan selanjutnya yang akan diputuskan mahkamah.

Pada Jun tahun ini, Haziq Abdul Aziz mendakwa klip video seks sejenis yang tular di media sosial memaparkan dirinya dan Azmin.

Azmin menafikan dakwaan berkenaan, dan menyifatkan ia sebagai fitnah bertujuan merosakkan imejnya.

Polis telah menghantar video tersebut untuk dianalisis oleh universiti AS, selepas gagal menentukan identiti individu dalam klip video.

Julai lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata seorang pemimpin parti politik terlibat di belakang penyebaran klip video berkenaan, yang dipetik dalam pemfailan tuntutan balas Azmin.

Bulan lalu, YHA menyaman Azmin untuk mendapatkan semula RM328,901 untuk tiket penerbangan dan penginapan hotel yang dikatakan belum dibayar.

Dalam penyataan pembelaannya, Azmin berkata beliau mempunyai hubungan perniagaan bersahabat selama 20 tahun dengan agensi pelancongan itu yang memberikannya "kebebasan yang meluas untuk menyelesaikan sebarang jumlah yang terhutang".

Azmin juga menyatakan jumlah yang dituntut oleh YHA adalah "tidak betul"

"Jumlah yang terhutang oleh defendan dan di mana plaintif adalah berhak kepada adalah jumlah sebanyak RM162,272," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata anak-anaknya yang berumur lebih daripada 20 tahun akan membayar jumlah yang dihutang sendiri.

Azmin juga melalui peguamnya memaklumkan bahawa beliau juga tidak bertanggungjawab untuk apa-apa jumlah yang perlu dibayar di bawah akaun Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.


No comments: