ULASAN | Beberapa minggu lepas saya bertemu dan bersembang dengan kawan yang kini bekerja dengan seorang menteri.
Banyak hal yang kami borakkan, khusus dalam hal ehwal politik dan pentadbiran kerajaan persekutuan hari ini. Juga cabaran-cabaran kerajaan negeri yang ditadbir PH.
Kata dia, kini terbukti rakyat Malaysia berani untuk menukar kerajaan seperti yang dibuktikan mereka pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu.
Kemudian saya tambah: Dan tidak mustahil rakyat sama akan mengulang keberanian dan kemahuan mereka pada PRU akan datang sekiranya prestasi kerajaan PH ini tetap diselimuti seribu satu kekalutan.
Bagaimana dengan persepsi rakyat terhadap kerja buat dan pelbagai perubahan positif yang dibuat kerajaan PH berbanding BN?
Lihat tanda tanya itu. Jawapannya saya pecahkan kepada dua. Pertama, seberapa ramai rakyat sedang mengukur hal-hal baik dilakukan kerajaan PH dan mempedulikannya, sekali gus berkata jujur: kerajaan hari ini jauh lebih baik dan perlu dikekalkan, atau sekurang-kurangnya diberi peluang lagi.
Kedua, berapa ramai pula rakyat yang tidak peduli segala apa yang kerajaan PH buat. Sebaliknya mereka dilekakan dengan bermacam-macam isu yang mengenggelamkan hal-hal positif dilakukan kerajaan.
Sudut pandang lebih matang
Kalau keadaan kedua yang lebih banyak mempengaruhi, kemungkinan besar rakyat Malaysia akan memilih untuk menghukum PH. Tidak perlu menunggu pembangkang, rakyat sendiri akan menghadiahkan pukulan maut untuk bola tanggung tersebut.
Kawan saya - yang kini bekerja dengan menteri itu - nampak gusar. Banyak kali dia menggeleng kepala. Seolah-olah dia mahu menghantar isyarat berat sebagai bayangan kepada beban yang berselirat dalam kepalanya.
Itu belum lagi kami bercerita tentang isu politik dalam politik yang dikhuatiri menjadi barah tahap kronik terhadap keutuhan kerajaan PH.
Lihat tanda soal itu. Ia adalah isu yang sudah menjadi rahsia umum, bukan lagi cuit-cubit dalam selimut. Lalu ia dijadikan bahan caci-maki rakyat, cemuh-cemuhan antara penyokong. Hal itu menghantar aura sangat buruk ke segenap sisi pandang.
Ia sama sekali jelik, membosankan dan mengarut sama sekali.
Harus disedari betapa politik sifatnya adalah serba mungkin. Atas sifat itu juga ia boleh menghadirkan jawapan tanpa kita lihat sebarang tanda tanya lagi.
Situasi politik kerajaan PH hari ini begitu rumit. Ketika pemimpin kerajaan berusaha keras menjayakan sesuatu dasar, memulihkan hal-hal pincang dan menanam semangat Malaysia Baru dengan sudut pandang lebih matang, pada kesempatan sama mereka jugalah yang bermain selut, lumpur, lelucon aneh dan memualkan tidur-bangun rakyat.
Hal-hal sepele ini pun akan akhirnya terheret sehingga rapat ke hari pengundian PRU akan datang.
Biar persepsi terus salah
Pembangkang cekap memanfaatkan keadaan dan kecelaruan yang ada untuk menyusun bidak-bidak strategi bagi meraih pengaruh rakyat. Kegagalan jentera kerajaan - seperti agensi berita nasional, stesen televisyen kerajaan dan Jabatan Penerangan - memberikan penerangan yang sepatutnya dieksploitasi semahu-mahunya.
Entah
di mana kedudukan menteri, pegawai kanan dan pegawai khas kerajaan
ketika tangan dan kuasa mereka diperlukan bagi mengekang kerja-kerja
'bawah tanah' yang memberikan imej buruk kepada PH sekarang.
Pembangkang juga tidak akan memuji bahawa kerajaan hari ini lebih baik daripada kerajaan semalam, kerana mereka juga bercita-cita mahu segera menjadi kerajaan yang seterusnya.
Sebaik mana pun perubahan dibuat PH, pembangkang tidak akan jadi jentera penerangan dan memperbetulkan persepsi rakyat yang seolah-olah dibiarkan berterusan salah. Itu kan memang kerja pembangkang?
Dalam gabungan pembangkang kini, sejauh dan selayak mungkin mereka akan menyambut 'bola tanggung' dan mengembalikannya dalam bentuk smash yang lebih mematikan.
Lalu, seterusnya apa PH? Barangkali pemimpin PH tak perlu lagi melihat tanda tanya itu. Mereka berasakan wajar - malah wajib - untuk terus bertelagah tentang siapa lebih benar, siapa sewajarnya menjadi ketua kepada siapa.
Pada masa sama, mereka mahu membiarkan sikap berjiwa besar menjadi tidak lebih daripada plastik pakai buang. Dan kemudian kekal tenang.
Kerana akan ada juga penyokong yang terpengaruh.
Biarkan segala yang berkecamuk menjadi pakaian harian rakyat. Rakyat yang semakin terbuka dan berani berubah, kelak tidak perlu bertanya mengapa dan bagaimana.
N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment