Wednesday, April 24, 2019

SAH UMNO TIDAK BERTANDING PRK SANDAKAN





UMNO tidak akan meletakkan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan yang dijadualkan berlangsung pada 11 Mei ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara tersebut diputuskan memandangkan parti itu sememangnya tidak pernah bertanding di kawasan tersebut sebelum ini.

“Jadi UMNO mengambil keputusan tadi untuk tidak bertanding di sana dan Barisan Nasional akan membuat keputusan pada malam ini di dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi Barisan Nasional.

“Mesyuarat akan memutuskan sama ada Barisan Nasional, rakan-rakan komponen kita berhasrat ataupun berminat untuk meletakkan calon di pilihan raya kecil Sandakan,” katanya melalui sidang media sejurus mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn, di Kuala Lumpur pada Isnin.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 27 April ini sebagai tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Sandakan manakala pengundian awal akan dibuat pada 7 Mei sementara 11 Mei depan ditetapkan sebagai tarikh pengundian biasa.

PRK Parlimen Sandakan dibuat berikutan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.


No comments: