Pengundi terima kad tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR
SANDAKAN–
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil inisiatif untuk menghantar kad
pengundi kepada 39,349 orang pengundi yang meliputi 270 orang pengundi
awal dan 39,079 orang pengundi biasa, dalam usaha menggalak serta
memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK)
Parlimen P.186 Sandakan.
Pengerusi
SPR, Azhar Azizan Harun berkata, kad pengundi itu mengandungi maklumat
pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan, tarikh dan masa
mengundi yang akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari
mengundi awal iaitu 7 Mei dan hari mengundi biasa pada 11 Mei depan.
“Pengundi
yang telah menerima kad pengundi tidak lagi perlu membuat semakan di
Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam
daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan
dalam kad tersebut.
“SPR
telah mengedarkan kad pengundi mulai 19 April lepas kepada semua
pengundi bagi PRK Parlimen P.186 Sandakan,” katanya dalam kenyataan di
sini hari ini.
Azhar
juga berkata, SPR menegaskan bahawa pengundi masih perlu membawa kad
pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya
membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari
mengundi bagi memudahkan semakan.
Katanya
lagi, mana-mana pengundi yang tidak menerima kad pengundi berkenaan
boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran
dan nombor bilangan di portal SPR www.spr.gov.my atau aplikasi MySPR
Semak.
Beliau
berkata pengundi juga boleh menyemak melalui khidmat pesanan ringkas
(SMS) (SPR SEMAK NOMBOR KAD PENGENALAN) dan hantar ke nombor 15888 atau
menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018. – Bernama
No comments:
Post a Comment