TULISAN Presiden PAN, Mohamad Sabu, dalam portal berita MalaysiaKini
hari ini bertajuk “Terangkan pada rakyat PH bela Melayu, Islam” adalah
bagus kerana ia mengandungi satu pengakuan terbuka berbunyi:
(1) “Naratif ataupun persepsi yang
mengatakan bahawa Kerajaan PH ditunggangi oleh bukan Melayu dan bukan
Islam sudah diyakini ramai, sudah dipegang oleh sebahagian besar orang
Melayu dan orang Islam di Malaysia khasnya di Semenanjung.”
(2) “Ia menjadi satu pegangan yang
diterima pakai sekarang ini bahawa kedudukan orang Melayu, Islam,
kedudukan Raja-raja Melayu tergugat di bawah pemerintahan PH.”
Begitupun kebagusan ini terhenti setakat ini kerana preskripsi yang beliau berikan untuk merawat penyakit ini adalah:
(1) “Seluruh ahli-ahli PAN dan
pejuang-pejuang rakyat hendaklah mengumandangkan isu ini iaitu Kerajaan
PH menyelamatkan institusi perniagaan Bumiputera, tabung yang terbesar
walaupun Menteri Kewangannya daripada DAP, Cina dan 'non-Muslim'.”
(2) “PH, Lim Guan Eng melihat dari
sudut keharmonian, kekuatan politik untuk menolong, membantu
Bumiputera, orang Melayu dan Islam.”
Dua perkara utama yang beliau tonjolkan bagi membuktikan PH membela Melayu Islam adalah:
(1) “Kerajaan PH yang Menteri
Kewangannya Lim Guan Eng telah berusaha dan berikhtiar walaupun dalam
keadaan kekangan kewangan iaitu mengeluarkan lebih RM17 bilion 'bailout'
untuk menyelamatkan satu institusi tabung bumiputera yang begitu besar
iaitu Tabung Haji.”
(2) “Kerajaan PH di bawah Menteri
Kewangannya Lim Guan Eng mengeluarkan lebih kurang RM6.2 bilion untuk
'bailout' dan menyelamatkan Felda, satu-satunya institusi yang dikuasai
sepenuhnya oleh Melayu, Bumiputera, Islam.”
Saya katakan preskripsi yang beliau berikan untuk merawat penyakit ini salah kerana “Menyelesaikan skandal 1MDB, FELDA, MARA dan Tabung Haji” atau Janji 13 Manifesto PH bukanlah janji pembelaan Melayu Islam yang ada dalam Manifesto PH.
Janji utama pembelaan Melayu Islam yang ada dalam Manifesto PH adalah terkandung di dalam Janji 11, “Mengembalikan maruah orang Melayu dan institusi-institusinya”, dan Janji 30, “Memajukan ekonomi Bumiputera dan semua rakyat berbilang bangsa”.
Janji utama pembelaan Melayu Islam yang melibatkan Raja-Raja Melayu dalam Janji 11 adalah:
(1) Kerajaan PH akan sentiasa
meletakkan pandangan dan teguran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja
Melayu di tempat tertinggi, iaitu sesuai dengan kedudukan Raja
Berperlembagaan dalam negara kita.
(2) Kuasa Raja-Raja Melayu dalam
mentadbir agama dan adat istiadat Melayu akan dikembalikan ke
negeri-negeri dan campur tangan kerajaan pusat akan dihentikan.
(3) Kerajaan PH akan memberi
galakan kepada universiti-universiti awam untuk memperbanyak kajian dan
perkongsian nasional dan antarabangsa mengenai kesultanan Melayu agar
sejarah ketamadunan Melayu dapat dikongsi di persada dunia.
(4) Muzium Diraja di Istana Negara
lama akan dinaik taraf menjadi Muzium Pendidikan Kebangsaan, dan
kerjasama akan dijalin dengan universiti awam untuk mengaktifkan
kegiatan kajian, penerbitan dan pendidikan, melalui seminar dan
persidangan secara berkala, tentang institusi Raja-Raja Melayu.
Janji utama pembelaan Melayu Islam yang lain dalam Janji 11 pula adalah:
(1) Kerajaan PH akan memastikan
Tanah-tanah Rezab Melayu dilindungi dan semua Tanah Rezab Melayu yang
telah ditukar status diganti semula dengan tanah yang nilainya sama atau
lebih tinggi.
(2) Syarikat-syarikat milik kerajaan yang terpilih akan
dipersediakan untuk dibeli oleh pengurusan (management buy-out) agar
peratus pemilikan ekuiti Melayu dan Bumiputera meningkat.
(3) Prestasi dan pencapaian agenda
memartabatkan maruah bangsa Melayu dan Islam akan dibentangkan dan
dibahaskan di Parlimen setiap tahun agar kerajaan sentiasa
bertanggungjawab kepada rakyat keseluruhannya.
(4) Kedudukan ekonomi Melayu akan
dibentangkan dalam ucapan belanjawan setiap tahun supaya kerajaan boleh
dipertanggungjawabkan secara terbuka.
Janji utama pembelaan Melayu Islam dalam Janji 30 pula adalah:
(1) Kerajaan PH akan memberi lebih
banyak penumpuan kepada pembangunan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera
agar akan wujud sebuah bangsa yang boleh berdikari dan bersaing secara
sihat di serata dunia.
(2) Untuk memastikan iltizam
kerajaan yang berterusan dalam membantu warga Bumiputera, Kerajaan PH
akan mengira secara tuntas dan menerbitkan kepada umum jumlah pegangan
ekuiti Melayu dan Bumiputera terkini agar ia menjadi penanda aras yang
tepat dalam usaha mencapai matlamat peningkatan ekuiti Melayu dalam
pasaran. Laporan ini akan dibentangkan di Parlimen dalam setiap Ucapan
Belanjawan Menteri Kewangan.
(3) Kerajaan PH juga akan
mengangkat kedudukan badan-badan bukan kerajaan yang memperjuangkan
status ekonomi Melayu dan Bumiputera, seperti Majlis Perundingan Melayu
atau badan-badan lain, sebagai rakan dialog rasmi kerajaan.
Oleh itu, jika PH mahu bercakap
mengenai usahanya membela Melayu Islam maka pencapaian segala butiran
janji dalam Janji 11 dan Janji 30 inilah yang perlu diulas.
Jika segala butiran janji dalam Janji
11 dan Janji 30 ini masih belum dicapai maka pemimpin Melayu Islam PH
perlulah mendesak kerajaan melaksanakannya dengan segera.
Memberi kredit kepada Lim Guan Eng
dalam isu Tabung Haji dan FELDA bukanlah caranya, lebih-lebih lagi bila
yang bertungkus-lumus menanganinya adalah menteri lain.
No comments:
Post a Comment