Tuesday, April 2, 2019

Pengundi fail rayuan batal keputusan PRK Semenyih

Sabariah Mohd Shariff dalam saman pemulanya berkata, SPR 
tidak boleh mengadakan PRK sehingga semua anggotanya dilantik 
Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang wanita memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan untuk menerbalikkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak samannya bagi menghentikan pilihan raya kecil Semenyih diadakan bulan lalu.

“Beliau mengarahkan kami memfailkan rayuan kerana ia membabitkan isu asas Perlembagaan,” kata peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Sabariah Mohd Shariff, 58.

Beliau berkata, keputusan PRK Semenyih boleh dibatalkan dan PRK baru boleh diadakan, jika rayuan itu dibenarkan.

Mahkamah Rayuan menetapkan pengurusan kes pada 24 April ini.
Pada 25 Februari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, S M Komathy menolak saman pemula dan memutuskan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun boleh mengumumkan tarikh pencalonan dan pengundian bagi PRK Semenyih secara bersendirian.

Komathy membuat keputusan itu selepas merujuk kes peguam negara dan Nurul Izzah Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh ketika ini, di mana Mahkamah Rayuan memutuskan SPR boleh terus berfungsi secara sah, walaupun tidak mempunyai 7 anggota suruhanjaya.

PRK Semenyih dimenangi calon Barisan Nasional, Zakaria Hanafi yang mendapat 19,780 undi menewaskan calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali yang hanya meraih 17,866 undi.

Dua lagi pencabar ialah calon Parti Sosialis Malaysia, Nik Aziz Afiq Abdul dan calon bebas, Kuan Chee Hong yang sekadar memperoleh 847 undi serta 725 undi.

Sabariah yang juga pengundi berdaftar di Dewan Undangan Negeri Semenyih, menerusi saman pemulanya memohon perisytiharan mesyuarat SPR pada 18 Januari lalu yang dipengerusikan Azhar tanpa kehadiran timbalan pengerusi dan 5 anggota, tidak sah dan terbatal.

Wanita itu berkata, tindakan Azhar melanggar Parkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, SPR tidak boleh mengadakan sebarang PRK sehingga semua anggotanya dilantik Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Othman Mahmood, Md Yusop Mansor, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi, K Bala Singam dan Leo Chong Cheong meletak jawatan sebagai pesuruhjaya SPR, tetapi peletakan jawatan mereka hanya berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Pada 18 Januari lalu, Azhar mengumumkan PRK Semenyih akan diadakan pada 2 Mac dan hari penamaan calon pada 16 Februari lalu.

Kerajaan hanya mengumumkan pelantikan 5 anggota baru, iaitu Azmi Sharom, Ramlan Ibrahim, Chin Phaik Yoong, Faisal S Hazis dan Zoe Randhawa pada 14 Februari lalu.

No comments: