MALAYSIAKINI
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mempertahankan wawancara telefon dengan stesen radio BFM yang berlaku sedikit ketegangan sehingga pemimpin DAP itu memutuskan panggilan telefon.
Chow diwawancara berhubung Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) oleh penyampai radio Khoo Hsu Chuang.
Khoo dalam permulaan wawancara itu memetik laporan The Star yang mengatakan projek tebus guna tiga pulau di selatan Pulau Pinang boleh menjana sehingga RM70 bilion namun kemudian menafikannya, yang seterusnya menyebabkan pertengkaran.
Projek tebus guna tanah itu direncana untuk membiayai PTMP yang bernilai RM46 bilion.
"Ada dua orang yang mewawancara, saya dengar salah seorang memetik Star bahawa jumlahnya RM70 bilion, tapi kemudian dia kata dia tak petik Star, sedangkan saya dengar dia petik Star.
"Anda petik Star, jadi saya petik Star. Saya mahu jelaskan. Anda tidak boleh nafikan yang anda petik Star, macam mana anda boleh nafikan?
"Saya tak tahu pewawancara mana yang petik sebab saya tak boleh tengok mereka," katanya ketika ditanya berhubung wawancara itu. Respons Chow itu dimuat naik dalam klip video oleh Buletin Mutiara.
Chow juga berkata dia sebenarnya tidak memutuskan panggilan telefon kerana wawancara itu sudah di penghujung.
"Saya tidak memutuskan panggilan, tapi kerana masa sudah mencukupi.
"Saya tidak puas hati mereka nafikan - saya tidak pasti siapa tapi dia memetik Star bahawa jumlahnya RM70 bilion, jadi saya juga petik Star bahawa jumlahnya RM70 bilion namun jawapan terakhir saya ialah jumlahnya boleh lebih daripada itu.
"Tapi mereka tidak mahu beri peluang untuk saya jawab, mereka tidak mahu dengar," katanya.
PTMP akan terdiri daripada beberapa komponen termasuk LRT Bayan Lepas, Monorel Ayer Itam, Monorel Tanjung Tokong di pulau, sementara di tanah besar Monorel Raja Uda-Sungai Nyiur-Bukit Mertajam-Permatang Tinggi yang disambungkan dengan laluan BRT ke Kepala Batas.
Selain itu, ia turut merangkumi laluan BRT Permatang Tinggi-Batu Kawan di tanah besar yang akan disambung ke utara menghala Bukit Tengah/Seberang Jaya dan ke arah selatan menghala ke Nibong Tebal.
Pelan induk itu juga turut melibatkan pembinaan Pan Island Link 1, Pan Island Link 2 dan 2A, North Coast Pair Road, selain dua pertukaran di Butterworth-Kulim dan Juru serta naik taraf jalan di Permatang Pasir-Perda dan Bukit Minyak serta terowong dasar laut sebagai laluan ketiga antara pulau dan tanah besar.
Ia juga akan melibatkan kerja tebus guna tanah untuk tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang yang akan digunakan untuk membiayai projek berkenaan.
Transkrip wawancara berkenaan sebelum pertengkaran itu berlaku boleh dibaca di sini.
No comments:
Post a Comment