Tuesday, April 2, 2019

Geng Malik Botak tumpas



Nurul Amanina Suhaini
 
 


POLIS menahan empat lelaki tempatan dikenali Geng Malik Botak dalam dua serbuan berasingan selepas dipercayai terbabit dengan kes kecurian di bangunan, tapak projek, selain kecurian kabel dan bateri di sekitar Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, hasil maklumat dan risikan terhadap kumpulan itu membawa kepada serbuan pertama pada 8 malam, 13 Mac lalu.

Katanya, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Bayu Damai, di sini, menahan dua lelaki berusia 22 dan 39 tahun bersama sebuah kereta Proton Iswara di tepi jalan Kilometer 57.1 Lebuhraya Senai - Desaru, kawasan Bandar Penawar, dekat sini.

“Bertindak atas risikan dan maklumat, hasil daripada tangkapan dua lelaki tempatan itu, ia membawa kepada serbuan kedua iaitu pada 16 Mac lalu, 2.30 petang.

“Sepasukan anggota Cawangan Task Force Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, membuat serbuan di sebuah rumah yang beralamat di Gelang Patah.

“Susulan itu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 24 dan 25 tahun yang dipercayai terbabit dalam kecurian pecah bangunan di tapak projek, selain kecurian kabel dan bateri,” katanya.

Ahsmon berkata, nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM25,000, selain semua suspek serta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Katanya, hasil tangkapan semua suspek, polis dapat menyelesaikan enam kes kecurian pecah bangunan di tapak projek dan kecurian kabel serta bateri di daerah ini.

“Secara keseluruhan, jumlah kerugian adalah dianggarkan bernilai kira-kira RM 40,000.

“Kesemua lelaki tempatan itu direman selama 21 hari bermula semalam sehingga 21 April, mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959,” katanya.

No comments: