Setelah disabitkan di mahkamah dan dikecam masyarakat, pelawak Lan Pet Pet akhirnya memohon maaf secara peribadi kepada pengawal keselamatan Yahya Manap yang dicederakannya April lalu.
Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad dan Yahya bertemu di Nilai semalam, yang menyaksikan Mazlan menunduk kepalanya serta memeluk dan mencium kepala warga emas itu.
“Saya berterima kasih pada Pak Ya dan keluarga yang menerima pelawaan untuk bertemu.
“Pada awalnya, saya tahu Pak Ya marah. Tetapi apabila melihat saya dengan rendah diri, zahir dan batin memohon maaf, dia akhirnya tersenyum,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Berita Harian.
Tambah Lan, dia akan ingat pesanan Pak Ya supaya tidak mengulangi kesilapan.
“Walaupun pada pertemuan ini, air mata tidak menitis tetapi hati saya menangis tiada siapa tahu.
“Saya sedih dan insaf. Saya berjanji akan menjaga Pak Ya dan keluarga seperti keluarga sendiri.
“Saya merancang membawa Pak Ya dan isteri menunaikan umrah di Makkah, Insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, Pak Ya berkata beliau memaafkan Lan demi membuang yang keruh, ambil yang jernih.
“Ini bukan kerana wang tetapi keinsafan dirinya membuka hati saya memaafkannya.
“Buang yang keruh, ambil yang jernih. Lagipun, Ramadan al-Mubarak akan tiba, tidak lama lagi. Lebih elok kami berbaik daripada memanjangkan sengketa pada bulan mulia.
“Saya bukannya pendendam. Segala perbuatan dan kekhilafan Lan terlerai sebaik kami bersemuka,” katanya seperti dipetik harian itu.
Berkaitan kes mahkamah, Yahya juga berkata akan berbincang dengan peguam untuk menarik balik rayuan untuk menyemak semula hukuman terhadap Lan.
Pada 15 April lalu, Lan didenda RM2 000 oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kawasan perumahan di Nilai.
Dia didakwa memukul dan menumbuk Pak Ya kira-kira pukul 8 malam, di Acacia Park Desa Jati, Nilai.
No comments:
Post a Comment