Benarkah CEO bagi SPV Tabung Haji bukan Islam, Cina?
Oleh Dr Zaharuddin Abd Rahman
Inilah isu terbaru yang dipolitikkan dan dimanipulasi dalam bentuk tidak bertanggungjawab.
Lebih
teruk lagi, ada yang mengatakan ketua pegawai eksekutif (CEO) Lembaga
Tabung Haji (Tabung Haji) itu sendiri bukan Islam, padahal orang yang
menjawat kedudukan itu ialah Zukri Samad, seorang Melayu Muslim yang
professional.
Beliau juga merupakan bekas CEO Bank Islam Malaysia Bhd.
Syarikat
tujuan khas (SPV) yang mengambil alih aset Tabung Haji dengan bayaran
harga premium atau tanpa merugikan badan itu ialah Urusharta Jemaaah Sdn
Bhd (UJSB).
Siapakah anggota lembaga pengarah yang merupakan pengurusan tertinggi dalam pengurusan UJSB itu?
Mereka
ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan Ahmad Badri Mohd Zahir sebagai
pengerusi; Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan, Rashidah
Mohd Sies; Pengarah Pelaburan Hartanah Bumiputera Bhd, Mohd Shukri
Hussin; Timbalan Setiausaha Fiskal dan Ekonomi, Mohd Hassan Ahmad; dan
Ketua Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Imri Dolhadi Ab Wahab.
Siapakah pula CEO bagi syarikat UJSB? Ia telah dijawab menteri bahawa tiada sesiapa menduduki jawatan itu buat masa ini.
Bukan lagi aset Tabung Haji
Disebabkan
itu, operasi hariannya ditampung sebuah lagi syarikat kerajaan iaitu
Prokhas Sdn Bhd (Prokhas). Ia merupakan syarikat kerajaan yang memang
diamanahkan untuk menguruskan kebanyakan SPV milik kerajaan.
Ahli
Lembaga pengarahnya pula ialah Mohd Salleh Mahmud, Dr Mohd Shukor
Mahfar, Fauziah Yaacob, Mohd Nasir Ahmad dan Rashidah Mohd Sies.
Siapakah
pula CEO Prokhas? Ketika ini dia ialah seorang tokoh berbangsa Cina
iaitu Chen Yin Heng. Di sinilah isu yang dimanipulasikan.
Persoalannya: adakah aset Tabung Haji dikawal bukan Islam?
Jawabnya,
tidak. Ia disebabkan aset yang diurus Prokhas tiada kaitan lagi dengan
Tabung Haji kerana semua aset - yang dahulunya milik Tabung Haji -
dipindahmilik kepada UJSB.
Maka
aset terbabit bukan lagi aset Tabung Haji. Dari satu sudut ia dianggap
sudah terjual kepada UJSB atau kerajaan Malaysia dengan harga tanpa rugi
buat Tabung Haji (berbanding harga pasaran yang merugikan).
Justeru, tidak timbul sama sekali Prokhas dan CEO syarikat itu menguasai apa-apa bahagian atau aset Tabung Haji.
Membaca tuduhan yang dilemparkan dan melihat bagaimana ia disebarkan menunjukkan ceteknya kefahaman orang awam terhadap isu ini.
Atau, ia juga mungkin menunjukkan tidak bertanggungjawabnya pihak yang memutar-belitkan isu tersebut.
Selain
itu, Prokhas juga sekian lama menguruskan pelbagai syarikat SPV
kerajaan Malaysia, malah sejak dari pemerintahan kerajaan terdahulu.
Antaranya
ialah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP), Syarikat
Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) dan Dana Infra dan Dana Harta.
SPV kerajaan Malaysia
Malah
Chen juga telah lama berada di posisi beliau sekarang, iaitu sejak dari
syarikat Danaharta lagi (pada 1998) dan kemudian bertukar ke Prokhas
sejak 2006.
Adalah jelas ia bukan lantikan baru oleh kerajaan terkini.
Jadi, adakah seorang tokoh Cina kini menjadi CEO syarikat yang mengurus SPV Tabung Haji?
Tidak,
kerana SPV tersebut tidak menguruskan aset Tabung Haji sebaliknya
menguruskan aset milik syarikat UJSB iaitu sebuah syarikat milik
Kementerian Kewangan Malaysia yang mewakili kerajaan.
Ia
tiada kena-mengena lagi dengan Tabung Haji kecuali kerajaan Malaysia
melalui UJSB. Prokhas pula perlu cemerlang dalam pengurusan aset yang
dibeli agar mereka boleh membayar hutang kepada Tabung Haji dan tidak
menambah beban kerugian ke atas kerajaan Malaysia.
Jika mereka
gagal memulihkan aset tersebut, kerajaan tetap mesti menyelesaikan
hutang hasil jumlah pemindahan aset kepada Tabung Haji.
Menurut maklumat juga, kerajaan akan terus-menerus membantu syarikat-syarikat itu melalui pelbagai cara dan insentif.
Menamakannya
sebagai SPV Tabung Haji juga adalah salah dan menunjukkan
ketidakfahaman ramai tentang isu berkenaan. Sebenarnya UJSB dan Prokhas
adalah SPV kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Kewangan, bukannya SPV
Tabung Haji.
Selain itu, seorang CEO tidak mempunyai kuasa penuh
dalam pengurusan sesebuah syarikat kerana dia sentiasa perlu memberi
laporan kepada anggota lembaga pengarah.
Pengerusi
lembaga pengarah bersama semua anggota lembaga pengarah syarikatlah
yang mempunyai kuasa tertinggi serta boleh menukar CEO sekiranya tidak
menjalankan tugas dengan baik lagi kemas.
Sama-samalah kita berdoa agar tabung amanah untuk tujuan mulia - menunaikan ibadah haji - itu semakin baik.
Sudah
tentu pihak pengurusan baru sedang melaksanakan tugasan mereka sebaik
mungkin bagi mengembalikan zaman keuntungan Tabung Haji. Misalnya
memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM2.45 bilion pada 2013 apabila
segala liabiliti dan pelarasan ditolak.
Dr Zaharuddin Abd Rahman
ialah pakar kewangan Islam dan menjadi profesor adjung untuk Fakulti
Perakaunan dan Kewangan Universiti Selangor (Unisel). Beliau juga
presiden Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du'at (Murshid).
No comments:
Post a Comment