Pertamanya adalah kerana, dari mana pun kamu datang, apabila membicarakan hal tersebut kamu akan dilihat sebagai seorang yang kuat berahi perkaumannya.
Kamu akan dilihat sebagai seorang yang mementingkan bangsa kamu sendiri sambil tidak mahu belajar bergaul dan menghormati bangsa lain dalam negara yang kononnya terkenal berbilang bangsa ini.
Dan tentunya yang paling malang apabila memang begitulah yang berlaku kepada sesiapa yang kuat menjerit memperjuangkan bahasa kebangsaan kita.
Pejuang bahasa Melayu giat mempertahankan bahasa kebangsaan hanya kerana ini - pada mereka - adalah negara Melayu. Semua orang perlu menghormatinya dengan tunduk berbahasa dalam lidah nenek moyang mereka.
Tidak ada keinginan untuk menjadikan semua warganegara ini tenang berbicara tanpa syak wasangka.
Apa yang mereka mahu ialah keesaan di atas bahasa Melayu itu sebagai lambang kekuasaan satu bangsa ke atas bangsa yang lain.
Sementara bangsa-bangsa lain pula enggan berbahasa Melayu kerana mereka berasakan, dengan berbahasa Melayu mereka seakan mengakui bahawa ini adalah sebuah negara milik orang Melayu semata-mata.
Kononnya bahasa ilmu dunia
Setelah merdeka enam puluh tahun, setelah datuk nenek kamu - yang entah datang dari mana - menjadikan negara ini buah hati belahan jiwa masing-masing, kamu masih takut dan berasakan kamu bukan sebahagian daripada isinya?
Memang bodoh yang tidak boleh diajar kamu iini semuanya apabila takut dengan bahasa sesuatu bangsa. Juga bodoh yang sama jatuh kepada kamu yang berjuang hanya kerana ini bahasa nenek moyang kamu.
Kita jadi negara cacamarba. Lihat saja papan tanda di sekeliling kita dan akan kamu dapati semuanya berlumba-lumba untuk menjadi lebih tinggi daripada yang lain.
Yang Melayu dengan bahasa Melayu alaf barunya dan bodoh, si Cina pula meletakkan bahasa mereka di atas segala bahasa yang ada.
Manakala bahasa Inggeris diagungkan kerana telah diajar bahawa ini ia adalah bahasa ilmu dunia.
Digunakan di sana sini bahasa mandarin kerana ia didakwa sebagai bahasa perniagaan yang paling banyak digunakan di dunia.
Sambil itu diselitkan sepatah dua perkataan bahasa kebangsaan sebagai hadiah kecil untuk mengambil hati jika pun tidak untuk mengaburi mata.
Semua mahu menonjolkan diri masing-masing dan langsung tidak ada yang mahu memberi laluan demi kelangsungan damai negara.
Kerana itu kami berikrar untuk tidak lagi menulis fasal pentingnya kita semua disatukan dalam bahasa yang sama dan mungkin - jika kita semua berlembut hati bersetuju - negara ini akan lebih bahagia.
Memang suka berkelahi
Yang menteri pun sama bengapnya. Hanya kerana bencikan pimpinan lalu, ditukarnya nama tempat budak-budak belajar dengan nama berasal Inggeris. Tergesa dalam semua hal.
Jika sekalipun ingin memadam sejarah, pergi tanya orang pandai bahasa. Minta cadangan daripada mereka akan nama baru yang lebih berjiwa bangsa.
Ini tidak, mentang-mentang awak sekolah di Durham, awak hilang kecintaan kepada bahasa negara sendiri.
Ini belum lagi kita bercakap fasal ahli politik yang tergagap-gagap apabila berbahasa kebangsaan. Dah tahu diri itu mahu mewakili rakyat, dah tahu diri itu akan berdepan dengan orang banyak, pergilah belajar bercakap dengan betul.
Masuk kelas supaya nanti apabila bercakap tak adalah seperti anak tekak awak itu berbulu atau tertelan anak bulu-bulu.
Tapi itulah, seperti yang kami katakan tadi, kami sudah malas untuk menulis akan mustahaknya semua lapisan masyarakat bercakap dan faham bahasa kebangsaan.
Kerana apa, kamu bertanya?
Sepatutnya apabila semua orang faham akan satu bahasa maka pertengkaran kamu semua itu akan menjadi lebih memberangsangkan.
Ianya akan jadi sangat-sangat menarik, dan mana tahu dalam pertelingkah kamu itu nanti akan terbit kosa kata baru.
Ini tentu saja akan memperkayakan lagi perbendaharaan kata bahasa kebangsaan kita ini, yakni bahasa yang hari ini hanya digunakan oleh para 'pariah'.
Lihat saja Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang baru berlalu tempoh hari.
Bahasa elak mudarat
Yang kamu lihat hanyalah kumpulan pariah membaca yang datang. Lebih malang lagi ialah apabila diadakan pesta buku dalam bahasa lain, 'pariah' ini jugalah akan berbodong-bondong ke pesta berkenaan hanya untuk kelihatan muhibbah, tidak hanya mengagungkan bahasa sendiri.
Mereka mahu dilihat terbuka menerima apa saja yang elok.
'Pariah' berbahasa Melayu ini juga akan ke pesta apa saja - Songkran, Thaipusam atau apa saja - demi untuk perpaduan dan mereka gembira melakukannya.
Si 'pariah' memang begitu. Kerjanya adalah memuaskan orang walaupun seharian mereka dihina dan diperlekeh.
Sementara mereka mereka yang di kasta tinggi, yang geli berbahasa kebangsaan, dibunuh mati sekalipun tidak mahu mereka dilihat berbual bicara dalam bahasa kebangsaan.
Kerana itu juga seperti yang kami ulang-ulang, tidaklah lagi ingin kami menulis perihal pentingnya semua orang berkumpul dalam satu bahasa bagi mengelak kemudaratan.
Dan kami menyarankan agar kerajaan segera menukar bahasa kebangsaan kita daripada bahasa Melayu kepada satu bahasa yang difikirkan boleh menaikkan mertabat negara ini di dunia.
Kami mencadangkan agar kerajaan menjadikan bahasa binatang sebagai bahasa kebangsaan kerana pada pendapat kami, ianya adalah bahasa yang sangat sesuai dengan negara kita sekarang ini - jika persidangan parlimen diambil kira sebagai penanda aras.
*ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyair yang pernah tinggal di Langley Moor, Durham untuk beberapa ketika.
No comments:
Post a Comment