Monday, April 1, 2019

Agihan hibah TH selepas isu MFRS 9 selesai – Mujahid

Wartawan MalaysiaGazette
xMGF11122018_FILE-TABUNG-HAJI06-681x454
Bangunan Tabung Haji. foto HAZROL ZAINAL 
 

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji akan mengumumkan dividen kepada para pendeposit selepas ia mematuhi isu-isu berkaitan standard perakaunan MFRS 9.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujanid Yusof berkata, pada masa ini terdapat isu berhubung MFRS 9 yang mempunyai dasar berhubung penyusutan nilai.

“Kita perlu menyelesaikannya sebelum kita tutup buka. Kemudan baru kita boleh mengagihkan hibah,” katanya sambil menambah tidak pasti keperluan mana dalam standard perakaunan itu yang masih belum dipatuhi oleh Tabung Haji.

Tabung Haji kini mempunyai lebihan RM1 bilion selepas menukar aset-aset bukan teras dengan syarikat bertujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan dalam pertukaran bagi dua instrumen kewangan.

SPV yang dipanggil Urusharta Jemaah Sdn. Bhd. telah mengambil alih aset-aset Tabung Haji yang tidak menunjukkan prestasi baik bernilai RM10 bilion untuk diterbitkan sebagai sukuk dan Saham Keutamaan Boleh Ubah Boleh Tebus Islam (RCPS-i).

Langkah itu dibuat bagi membantu Tabung Haji memadankan aset-asetnya dengan liabiliti supaya ia dapat membayar hibah kepada 9.7 juta pendepositnya.

Pada 18 Mac lalu, Mujahid memberitahu, aset Tabung Haji kini meningkat kepada RM76.5 bilion dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember berbanding liabiliti RM75.5 bilion.

Angka itu berbanding aset sebanyak RM70.3 bilion yang direkodkan pada tahun kewangan berakhir 2017 berbanding RM74.4 bilion liabiliti.

Kedudukan kewangan itu menunjukkan Tabung Haji mengalami defisit sebanyak RM4.1 bilion.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat berkata, pihaknya akan berusaha sebaik boleh untuk mengagihkan hibah.

Pada kebiasaannya pengumuman hibah Tabung Haji dibuat dalam bulan Mac. – MalaysiaGazette

No comments: