Sabtu, 9 Februari 2019

Tidak jadi larang tahun ini, kerajaan bantu perkenal straw kertas

Nizam Zain

MGF05012019_TINJAUAN-STRAW03-681x454
Salah seorang pengunjung restoran menggunakan straw unutk minum semasa tinjauan lensa MalaysiaGazette di salah satu buah restoran di sekitar Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI
 
SERDANG – Larangan penggunan straw plastik tidak akan dikuatkuasakan pada tahun ini sebaliknya ia sekadar kempen kesedaran sepanjang 12 bulan ini sebelum ia dikuatkuaskan menjelang 2020.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, bagi tujuan itu pihaknya akan memastikan pengenalan straw alternatif lain termasuk straw besi dan kertas dapat diperkenalkan secepat mungkin bagi membantu premis makanan.

“Kita akan pastikan ada straw alternatif diperkenalkan di pasaran di mana ada straw besi di mana kita dapati digunakan oleh generasi muda mereka mula membelinya.

“Dalam masa sama kita akan membantu untuk memperkenalkan straw kertas. Bagi restoran agak mahal untuk mereka membeli straw besi, apa yang kita cadangkan ialah mereka menggunakan straw kertas untuk menggantikan straw plastik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Anti ‘Litter Give Your Litter A Lift Home’ di Stesen Minyak Petronas Solaris Putra, di sini, hari ini.

Larangan penggunaan straw plastik konvensional bermula 1 Januari 2020 tidak membabitkan orang ramai sebaliknya dikuatkuasa kepada peniaga dan pengusaha kedai yang mempunyai lesen perniagaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan sebelum ini berkata, penguatkuasaan larangan itu akan ditujukan kepada peniaga dan pengusaha kedai makan yang menjadi pemegang lesen dan bukan terhadap rakyat.

Khalid juga tidak menolak kemungkinan kempen itu sukar mencapai sasaran di di seluruh negara susulan ia masih menjadi pilihan premis makanan khususnya di luar bandar.

“Kami tidak percaya kita boleh menghapuskan sepenuhnya penggunaan straw plastik di mana masih terdapat beberapa tempat masih menggunakannya.

“Tapi sekurang-kurangnya menjelang akhir tahun ini kita dapat kurangkan jumlah itu di kebanyakan restoran di bandar termasuk restoran mamak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: