Sabtu, 9 Februari 2019

Calon PH di Semenyih seorang yang kacak, kuat – Muhyiddin

Mohd Zaini Samsu Hadi

MGF09022019_PC-MUHYIDDIN-PRK-SEMENYIH07-1-681x454
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin melambai tangan kepada media selepas mempengerusikan perjumpaan bersama Ahli Jawatankuasa Bersatu Hulu Langat di Semenyih EcoVenture Resort & Recreation, Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL
 

SEMENYIH – Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih adalah seorang yang kacak dan kuat.

Malah, individu itu katanya, mestilah berkulit cerah, bermisai dan mempunyai latar belakang akademik yang sesuai sebagai seorang calon.

“Ciri-cirinya seorang yang handsome, ada sedikit misai, cerah, bertenaga dan kuat,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa Bersatu Hulu Langat, ketua kampung dan penghulu serta PDM Semenyih di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, ciri-ciri lain yang turut diambil kira adalah calon itu perlu dilihat dari segi penglibatannya dalam parti manakala faktor anak tempatan merupakan perkara yang menjadi keutamaan dan sering dijadikan petunjuk oleh pimpinan di kawasan itu.

Katanya, calon juga dinilai dari segi budi bahasanya sama ada menerusi pergaulan dalam parti dan juga masyarakat setempat.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, jentera Bersatu perlu mendokong semangat untuk terus bersatu sebagai langkah memantapkan lagi gerak kerja pada PRK berkenaan.

Katanya, PH tidak bersikap ambil mudah untuk mecapai kemenangan tanpa berbuat apa-apa sebaliknya, tetap akan bekerja keras walaupun parti merasakan memang boleh menang di kawasan itu.

“Kita tidak akan bersikap tidak buat apa-apa untuk menang.

“Kita dah banyak pengalaman dalam pilihan raya. Tidak ada satu pilihan raya pun yang mudah untuk menang.

“Kita memerlukan sikap untuk kerja keras walaupun kita rasa boleh menang tapi tak cukup dengan harapan untuk boleh menang sahaja,” ujarnya.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) yang turut akan bertanding di Semenyih mengumumkan tidak akan meletakkan calon dalam kalangan individu yang sudah luput tarikh.

Sebaliknya, calon yang dipilihn mestilah seorang yang boleh membawa nama parti, tidak membebankan parti dan boleh diterima oleh rakyat.

PRK DUN Semenyih bakal diadakan susulan penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, dari Pakatan Harapan meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU-14, Bakhtiar menewaskan penyandang Datuk Johan Abdul Aziz (BN) serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan Parti Sosialis Malaysia (PSM). – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: