Defisit kerajaan bawah Pakatan Harapan (PH) sejak Mei hingga Disember 2018 dua kali ganda berbanding tempoh sama pada 2017 ketika BN mentadbir negara, kata bekas perdana menteri Najib Razak.
Menerusi hantaran di Facebook, Najib mendakwa data Bank Negara Malaysia menunjukkan perbelanjaan kerajaan pada Mei-Disember 2018 adalah RM187.31 bilion, berbanding RM171.65 bilion untuk tempoh sama pada 2017.
Pendapatan kerajaan pula pada tempoh itu untuk 2018 adalah RM161.26 bilion dan RM158.45 bilion untuk tempoh sama pada 2017, katanya lagi.
"Ini bermakna defisit di bawah PH, iaitu RM26.05 bilion, untuk tempoh 8 bulan ini kira-kira lebih satu kali ganda berbanding defisit RM13.2 bilion untuk tempoh sama di bawah BN pada 2017.
"Ini walaupun mereka telah menjarah RM26 bilion daripada Petronas untuk tahun ini (menerusi dividen khas)," katanya yang juga bekas menteri kewangan.
'Mencurigakan'
Najib mendakwa peningkatan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM16 bilion berbanding tempoh sama pada 2017 sebagai mencurigakan, memandangkan ada banyak potongan dalam belanjawan.
"Di mana perginya perbelanjaan ini pula? Untuk siapa? Mengapa lebih tinggi?"
Menurut data Bank Negara lagi, kata Najib, kerajaan mencatatkan jumlah defisit RM52.7 bilion untuk seluruh 2018, berbanding RM40.3 bilion pada 2017.
Beliau berkata PH gagal menunaikan janjinya untuk menurunkan perbelanjaan kerajaan sebanyak 20 peratus melalui pengurangan "rasuah, pembaziran dan penyelewangan".
"Saya rasa Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak akan jawab kerana dia sudah kata malas untuk jawab saya walaupun isu defisit meningkat satu kali ganda adalah isu besar untuk rakyat," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan