Ahad, 10 Februari 2019

PRK Semenyih: Antara kempen ‘ayam tanpa kepala’ dan ‘Bossku’

ISMA WEB

Sentimen Islam, Melayu dan kehidupan rakyat senjata untuk menang




PENILAIAN seorang pengulas terhadap Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands jelas menunjukkan perbezaan antara gaya kempen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Katanya:

“Sementara pemimpin PH bergerak ke seluruh negara seperti ‘sekumpulan ayam tanpa kepala’, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan tenang dan bersistematik melakukan segala perkara yang sepatutnya dilakukan seperti ketika beliau bertugas.”

Dan, semalam pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, BN tidak akan meletak individu yang telah ‘tamat tempoh’ politik, sebagai calon bagi menghadapi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 2 Mac depan.

Tok Mat Hasan juga kata calon BN mestilah bukan sahaja diterima oleh parti komponen, tetapi juga rakyat, khususnya pengundi di kawasan itu.

PRK itu diadakan berikutan kematian Adun Semenyih (PH-Bersatu), Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Januari lalu.

Tertanya-tanya juga Pedang. Adakah BN, khususnya UMNO, bakal meletakkan ‘individu luar parti’ yang menyokong mereka bagi memberi cabaran kepada gabungan PH, sebagaimana dilakukan di Cameron Highlands?

Pedang bukan tak setuju dengan pendapat itu, tetapi sekadar mahu menambah nasihat – pastikan calon itu juga adalah individu bersih yang diterima oleh akar umbi PAS. Walaupun, PAS mengumumkan tidak akan bertanding, BN, khususnya UMNO, kena juga berbincang dengan parti itu mengenai calon paling sesuai.

Seperti Pedang kata sebelum ini, PRK DUN Semenyih bakal menyaksikan apakah kerjasama UMNO-PAS benar-benar memperoleh kepercayaan bangsa Melayu dan umat Islam untuk satu gabungan yang diharapkan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Bakhtiar, mengalahkan penyandang kerusi itu, Datuk Johan Abdul Aziz (BN-UMNO), serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS), dan S Arutchelvan Parti Sosialis Malaysia (PSM), dengan manjoriti 8,964 undi.

Allahyarham memperoleh 23,428 undi, berbanding Johan (14,464); Mad Shahmiour (6,966); dan Arutchelvan (1,293).

Ketepikan undi diperoleh Arutchelvan, jika dicampur undi Johan dan Mad Shahmiour menjadi 21,430 undi, kurang 2,028 undi daripada jumlah yang diperoleh Allahyarham Bakhtiar.

Mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini pada 11 Januari lalu, DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih dengan pengundi Melayu menjadi majoriti iaitu 67.71 peratus; Cina (16.69 peratus); India (13.73 peratus); dan lain-lain kaum (1.86 peratus).

Melayu majoriti

Namun, dalam keadaan sentimen bangsa Melayu dan umat Islam terhadap kerajaan PH yang merosot sejak kebelakangan ini – hasil daripada perbuatan pemimpin PH sendiri – Pedang percaya BN mampu menggugat dan menyengat.



Ditambah dengan semangat pemimpin UMNO dan PAS, selepas kerjasama politik kedua-duanya pada PRK Cameron Highlands, membuahkan hasil dengan kemenangan calon BN, pastinya kedudukan PH di DUN Semenyih, 2 Mac depan akan berubah.

Dan, dengan majoriti pengundi di DUN Semenyih adalah Melayu, Pedang melihat Islam dan kaum pasti menjadi isu utama.

Dalam pada Melayu berasa ditipu dengan janji PH, sementara Islam semakin tercabar sejak akhir-akhir ini, kesempatan itu harus direbut oleh BN untuk menggerakkan kempen mereka.

Biarlah, sesetengah pihak menuduh UMNO-PAS memainkan isu agama dan Melayu untuk menang di Cameron Highlands, kerana apa kurangnya PH ketika kempen PRU14 lalu.

Bagi UMNO dan PAS mereka tiada masalah untuk mengetengahkan pembelaan terhadap Islam dan Melayu, sementara komponen lain boleh berkempen untuk kaum Cina dan India.

Sebaliknya, Pedang melihat agak sukar buat Bersatu serta sekutunya PAN dan PKR untuk memainkan sentimen Islam dan Melayu kerana masalah satu lagi parti gabungan PH – DAP.

Pemimpin parti tamak haloba itu sejak kebelakangan ini banyak mengeluarkan kenyataan yang mengguris perasaan umat Islam dan bangsa Melayu, apalagi kekal mengatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Pedang juga lihat PH sekarang ketandusan isu untuk menarik minat pengundi berbanding pembangkang. Isu lama dikitar semula, walaupun setelah mereka berjaya menumbangkan kerajaan BN.

Pada masa sama, PH memberi peluru untuk ditembak oleh BN, apabila tiada apa-apa kemajuan yang dilakukan dalam tempoh hampir sembilan bulan berkuasa, sebaliknya hanya mengulangi kenyataan menyalahkan kerajaan terdahulu menjadi punca masalah rakyat sekarang.

Sedang janji utama manifesto PRU14 tidak ditunaikan, Pedang menjangkakan ‘wayang’ menyalahkan kerajaan terdahulu akan turut dimainkan berulang-ulang ketika kempen PRK DUN Semenyih nanti.

Tetapi, tidak mustahil PH mengekalkan kerusi itu jika kerajaan menerima saranan Tan Sri Rais Yatim – tutup tol, turunkan harga minyak – dan Pedang tambah – tunai janji manifesto. Inilah senjata utama PH untuk menang, daripada asyik menyalahkan kerajaan terdahulu.

Kata Pedang: PH gelabah bila rakyat cerdik


Tiada ulasan: