Khamis, 14 Februari 2019

Khairuddin: PAS semakin diserang semakin kuat

MALAYSIAKINI

   
PAS adalah sebuah parti politik yang akan menjadi semakin kuat apabila berdepan serangan yang hebat, kata anggota jawatankuasa pusat parti itu Dr Khairuddin Aman Razali.

Menerusi hantaran Facebook malam tadi, beliau berkata mereka yang bersama parti itu sejak awal telah menerima perjuangannya "dipenuhi onak dan duri".

"Semakin PAS diserang semakin kuat PAS merentasi ranjau.

"Ujiannya sama ada manusia yang jahat atau bodoh. Kejahatan dan kebodohan sentiasa menjadi musuh perjuangan. Penawarnya ialah sabar dan ilmu," katanya.

Kenyataan itu dibuat secara umum tanpa merujuk mana-mana pihak.

Hantaran itu diiringi dengan pautan laporan Berita Harian yang memetik kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa ada pihak dalam negara yang mempergunakan nama Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown untuk menyerang parti itu berkenaan isu dana RM90 juta daripada Umno. 

“Biarlah dia (Rewcastle Brown) nak serang pun. Kita tak perlu jawab pada dia pun sebab dia tak mengundi di sini. Tetapi apa yang saya tau, bukan Rewcastle Brown yang serang (PAS), orang sini yang serang, dia guna jenama (Rewcastle Brown) saja," katanya seperti dipetik.

Mutakhir ini PAS mula diserang sesetengah pihak selepas Hadi memutuskan untuk menyelesaikan samannya terhadap Rewcastle Brown berhubung dakwaan itu yang disiarkan di laman Sarawak Report pada April 2016, di luar mahkamah.

Perhatian terhadap parti itu tidak berhenti apabila laporan Malaysiakini semalam memetik setiausaha agung Takiyuddin Hassan dan timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengesahkan rakaman audio isu PAS menerima dana daripada Umno itu mengandungi suara Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Semalam Nik Abduh tampil mengakui perkara itu dalam satu hantaran panjang di Facebooknya.

Beliau antara lain berkata membuat penafian ketika dakwaan itu muncul sebelum PRU ke-14 selepas pimpinan PAS berkeras agar beliau berbuat demikian dan ia mendapat restu Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Dalam satu hantaran berbeza, Khairuddin sekali lagi membangkitkan laluan "dakwah politik yang penuh onak dan duri".

"Namun kita telah berjanji untuk tidak bimbang pada celaan orang yang mencela, meskipun rakan dan saudara sendiri," katanya lagi.

Tiada ulasan: