Kementerian Sumber Manusia sedang menyemak semula pembelian tanah bernilai RM323 juta oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada Mac tahun lepas.
The Malaysian Insight melaporkan bahawa seorang pegawai Perkeso berpangkat tinggi berkata Unit Integriti Kementerian Sumber Manusia mengkaji prosedur dan proses yang berkaitan dengan perjanjian itu.
Ini selepas timbul kebimbangan bahawa tanah itu masih belum dibangunkan dan tidak menjana pendapatan segera untuk Perkeso.
“Walaupun ramai mempersoalkan motifnya, saya fikir idea pembelian tanah itu untuk pelaburan masa depan.
“Ia bergantung pada tanggapan. Apa pun ia, niatnya jelas iaitu melihat kepada mendapatkan pulangan lebih besar dalam jangka pendek atau jangka panjang dan terpulang pada lembaga dan panel pelaburan untuk tentukan," kata sumber itu.
Pada Mac tahun lalu, Perkeso dilaporkan telah membeli tanah seluas 0.755 hektar di Jalan Kia Peng dari Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) dengan syarat agensi itu mendapatkan kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk pengambilan tanah.
Perjanjian penjualan dan pembelian (SPA) ditandatangani antara Perkeso dan anak syarikat MRCB Legasi Azam Sdn Bhd pada 19 Mac dan perjanjian itu selesai pada 3 Julai.
Sumber berkata keputusan membeli tanah itu dilakukan selepas perbincangan oleh panel pelaburan terdahulu dan panel pelaburan semasa sedang berusaha memutuskan apa yang perlu dilakukan dengan mengambil kira keadaan pasaran pada masa ini.
Sumber berkata pilihan terbuka untuk Perkeso membangunkan tanah itu seperti pelan asal atau menjualnya apabila keadaan pasaran bertambah baik.
Penilaian baru juga dilakukan bagi menentukan harga pasaran semasa.
Selain itu Perkeso juga menghantar laporan berkenaan aktiviti pelaburannya kepada kementerian secara konsisten.
Kementerian juga memantau dana peruntukan aset strategi dalam sektor tertentu bagi memastikan ia selaras dengan profil risiko Perkeso
Tiada ulasan:
Catat Ulasan