Presiden
PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap pada Pentas Perdana sempena
Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Felda Sungai
Koyan 1, Jelai, Pahang. foto HAZROL ZAINAL
LIPIS – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata,
umat Islam wajib bersatu padu untuk memilih pemimpin Islam yang boleh
mempertahankan agama dan bangsa di negara ini.
Abdul Hadi berkata, sudah sampai masanya orang Islam menghentikan
segala perbalahan sesama sendiri yang sebelum ini mempunyai fahaman
politik berbeza khususnya antara UMNO dan parti Islam itu sendiri.
“Pas melihat wajib umat Islam bersatu, hilangkan pertelingkahan
sesama mereka. Demi keselamatan umat dan negara, kita wajib bersatu.
“Banyak kalangan kita umat Islam tanpa memahami bahawa memilih pemimpin adalah kewajipan yang besar di dalam Islam.
“Dalam negara kita ini, politiknya mesti orang Islam dan orang Melayu Bumiputera beragama Islam yang mesti memimpin.
“Calon ini dipersetujui bersama, bukan UMNO saja termasuk Pas. Kita
bersetuju memilih Ramli Mohd Nor jadi wakil rakyat kita di sini dengan
harapan pengundi-pengundi di sini memilih beliau,” katanya berucap dalam
Pentas Perdana Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands di Dataran
Felda Sungai Koyan 1, di sini, malam tadi.
Hadir sama pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Presiden
PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) mengatakan sesuatu kepada
Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan (kanan) ketika hadir
pada Pentas Perdana sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron
Highlands di Felda Sungai Koyan 1, Jelai, Pahang. foto HAZROL ZAINAL
Ahli Parlimen Marang itu juga menegaskan, pemimpin DAP semakin biadap
apabila mereka dengan lantang mencampuri urusan agama Islam yang
dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“DAP naik tocang bila dapat kerusi lebih dan berkuasa di Pulau Pinang, mencorotkan MCA dan Gerakan.
“DAP menunjukkan keangkuhan dan kesombongannya, mengeluarkan suara
lantang mencabar Islam dan orang Melayu serta campur tangan dalam
urusan-urusan pentadbiran negara, dalam dasar-dasar negara Perkara
Perlembagaan yang tak boleh dibiarkan sekali-kali.
“Di sini diwajibkan umat Islam sekali lagi bersatu, untuk menghadapi
cabaran ini, kita lupakan perbalahan-perbalahan sampingan, mesti lihat
perkara yang dasar dan perkara yang penting,” katanya.
Katanya lagi, kewajipan memilih pemimpin beragama Islam untuk menjadi
wakil rakyat adalah berdasarkan soal dosa pahala yang tidak diambil
kira oleh calon bukan Islam.
“Islam mengajar ada aspek spiritual, kerohanian, dosa dan pahala menjadi pemimpin.
“Masalah dosa dan pahala tiada dalam DAP, tiada dalam parti-parti
yang bukan Islam, kita mahu pilih yang Islam ini, yang ada sifat ini.
“Orang Melayu, orang Islam dan orang asal beragama Islam wajib bukan
sunat lagi, wajib memilih wakil yang membawa suara Islam ini,” katanya.
Sementera itu, Abdul Hadi turut mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan
(PH) agar tidak menjanjikan perkara baharu dalam PRK Cameron Highlands
kerana mereka masih gagal menunaikan manifesto PRU14 lalu.
“Biarlah orang Cameron ini fahamlah sikit, nak bawa model pembangunan, tunai janji dulu.
“Apa yang penting kita mesti berfikir dengan budaya politik matang
dan berakal khususnya orang Melayu dan Islam yang menjadi pengundi di
kawasan ini.
“Tunaikan kewajipan memilih calon kita wakil kita Ramli yang membawa
suara kita ini, yang berpengalaman jadi pegawai tinggi polis dalam
bahagian pasukan keselamatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan