Isnin, 21 Januari 2019

PH perlu tunai janji untuk menangi hati rakyat Sarawak - Penganalisis

Azyyati Ahmad, Astro Awani
PH perlu tunai janji untuk menangi hati rakyat Sarawak - Penganalisis
JENIRI: Kegagalan meneruskan projek infrastruktur itu dilihat seolah-olah menghukum dan ia dikhuatiri diterjemahkan rakyat Sarawak dalam bentuk undi. -Gambar fail/Malissa Sahari
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) punya peluang untuk memenangi hati rakyat Sarawak sekiranya menunaikan janji termasuk melaksanakan projek-projek infrastruktur yang telah dibatalkan sebelum ini.

Jika tidak, menurut penganalisis politik Sarawak, Prof Madya Dr Jeniri Amir, kegagalan meneruskan projek infrastruktur itu dilihat seolah-olah menghukum dan ia dikhuatiri diterjemahkan rakyat Sarawak dalam bentuk undi pada pilihan raya negeri akan datang.

Ini susulan tindakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mula membangkitkan hak-hak Sarawak yang terhakis seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 1963 termasuk royalti minyak dan pembinaan jambatan.

"Kerajaan PH tidak punya pilihan, mereka perlu laksanakan janji termasuk janji dan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 1963 dan janji-janji dalam manifesto yang terkandung dalam PRU14 yang lalu.

"Kalau tidak ini akan membangkitkan rasa kecewa terhadap kerajaan Persekutuan dan ia tidak baik dalam pembinaan negara bangsa,

"Jadi PH harus tidak dilihat cuba ‘menghukum’ dengan erti kata tidak menunaikan janji dan juga membatalkan projek-projek infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini yang akan diterjemah dalam bentuk undi akhirnya kalau PH gagal tangani isu ini," katanya.

Jeniri juga berpendapat kedua-dua pihak iaitu GPS dan kerajaan Persekutuan harus mula bekerjasama melangkah ke hadapan demi kebaikan rakyat di negeri itu.

Tiada ulasan: