TIMMY SAY
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali baru pulang ke tanah air. Setelah seminggu mendiamkan diri, Azmin akhirnya menjawab teguran Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya ketika beliau membantah secara terbuka keputusan bosnya di dalam pelantikan jawatan utama PKR akhir tahun lalu.
Sesiapa pun akan melenting jika mereka berada dalam situasi Azmin. Individu-individu yang lantang menentangnya, dilantik semula oleh Anwar ke jawatan penting parti seperti Rafizi Ramli dilantik sebagai naib presiden, manakala Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang berkempen sebagai setiausaha agung untuk Rafizi, dipilih mengekalkan jawatannya.
Azmin menafikan teguran Anwar bahawa beliau tidak menggunakan saluran betul untuk membantah keputusannya berhubung pelantikan jawatan penting itu. Sebaliknya, beliau berkata, tindakannya itu bertujuan memenuhi aspirasi ahli parti.
“Saya jarang keluarkan kenyataan, saya jarang membuat sebarang kenyataan politik, jadi apabila saya mengeluarkan kenyataan, (memang) ada masalah. Tetapi, itu tidak bermaksud saya tidak mengikuti saluran yang betul. Sebelum kenyataan itu dikeluarkan, saya ada berbincang dengan presiden parti.
“Ada masa kita kena buat kenyataan secara terbuka. Saya (sudah) beberapa kali bertemu dengan presiden parti,” terang Azmin.
Jawapan Azmin mempunyai banyak mesej tersirat. Pertama, beliau telah cuba berkali-kali berbincang dengan Anwar, tetapi pandangannya ditolak. Kedua, Azmin memberikan bayangan akar umbi bersamanya dan beliau terpaksa bersuara bagi pihak akar umbi terhadap pimpinan tertinggi yang memekakkan telinga. Ketiga, kenyataan Azmin ini juga membayangkan masih wujud masalah antara beliau dan Anwar.
Dalam waktu terdekat, jika tiba-tiba tular gambar Anwar dan Azmin “mesra” kembali ketika pertemuan empat mata seperti mana tularnya gambar Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini di sebalik kehangatan ura-ura wujudnya usaha menghalang Anwar menjadi perdana menteri, ingatlah taktik digunakan artis ketika ura-ura rumah tangga mereka bergolak untuk menolak “khabar angin” pergolakan tersebut yang lazimnya akan berakhir dengan perceraian.
Andainya Anwar berjaya menjadi perdana menteri, apakah peluang Azmin menjadi calon timbalan perdana menteri beliau? Persoalan ini akan memberi jawapan sama ada hubungan Anwar dan Azmin akan pulih mahupun tidak pada masa depan.
Persoalannya, apakah PKR ada hak membolot jawatan PM dan TPM di dalam Pakatan Harapan (PH)? Sudah pasti PPBM akan menuntut jawatan TPM. Tidak mustahil untuk Anwar menambah jawatan TPM untuk turut menenangkan hati PPBM, Amanah dan DAP, tetapi perkara ini tidak mudah kerana kesannya besar terhadap peluang PH mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum ke-15.
Apakah sistem yang bakal dipersetujui PH? Apakah jawatan PM akan menjadi giliran antara PKR dan PPBM? Jika ya, selepas Dr Mahathir (PPBM), Anwar (PKR) menggantikannya. Selepas Anwar, siapa pula dalam PPBM yang akan menggantikannya sebagai PM?
Ketika itu, apakah nasib politik Azmin? Sekiranya Anwar dapat menjamin Azmin akan menjadi TPM beliau, masalah antara mereka akan selesai. Jika kedudukan Azmin sebagai bakal PM akan tergugat dengan Anwar menjadi PM, nantilah langkah Azmin untuk menjaga kepentingan dan masa depannya.
Siapa calon TPM dan senarai Kabinet Anwar adalah satu persoalan sangat getir bagi beliau untuk mendapatkan sokongan menyeluruh untuk beliau menjadi PM.
Tersilap memilih calon boleh menyebabkan Anwar kekal dengan jawatan bakal PM buat selama-lamanya.
Bala akan menunggu, sekiranya Anwar memilih untuk bermain teka-teki di dalam soalan ini. Ini kerana semestinya semua ahli politik yang menggilakan kuasa dan jawatan akan bertindak terlebih dahulu untuk mempertahankan masa depan sendiri daripada membiarkan nasib mereka ditentukan orang lain. MINDA RAKYAT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan