Selasa, 1 Januari 2019

SST diperluas kepada 4 perkhidmatan mulai 1 Mac

Bernama

Sistem MySST yang telah beroperasi sejak awal bulan Ogos ini akan diselenggara bermula jam 12 tengah malam sehingga 2 pagi setiap hari bagi tujuan pengemaskinian data-data di dalam sistem tersebut.
T. Subromaniam

MELAKA – Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperluas kepada empat lagi perkhidmatan baharu berkuat kuasa 1 Mac depan.

Ketika mengumumkannya, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam berkata ini membabitkan perkhidmatan pengendalian taman hiburan; penyediaan pembrokeran dan penaja jaminan; pembersihan serta penyediaan latihan dan tunjuk ajar.

Perkhidmatan pengendalian taman hiburan itu termasuk taman tema; penyediaan pembrokeran dan penaja jaminan meliputi komisyen bagi saham yang dijual; perkhidmatan pembersihan termasuk khidmat membersih bangunan serta dobi manakala penyediaan latihan itu merangkumi khidmat seperti seminar atau bengkel.

Menurutnya, ​​​​​​​pelaksanaan di bawah skop perkhidmatan bercukai itu bagaimanapun tidak akan membebankan golongan B40.

Ini berikutan selain menambah kutipan hasil kerajaan, cukai itu akan turut disalurkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk insentif atau infrastruktur khususnya untuk golongan B40.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemilik syarikat terbabit dengan nilai perkhidmatan bercukai melebihi RM50,000 setahun untuk mendaftar pada atau sebelum 28 Feb depan.

“Syarikat terbabit mempunyai tempoh dua bulan bagi mendaftarkan perniagaan mereka dan bersiap sedia melaksanakan kutipan cukai perkhidmatan terbabit,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kastam Melaka Tuang Aleong dan Timbalan Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Melaka Noriah Abd Rahman.

Mengulas selanjutnya, Subromaniam berkata kira- kira 5,000 hingga 10,000 syarikat yang menawarkan empat perkhidmatan itu akan berdaftar di bawah sistem cukai tersebut.

Pihak kastam juga akan mengeluarkan panduan industri untuk membantu mereka mendaftar serta membantu kelancaran pelaksanaan sistem cukai berkenaan.

“Syarikat terlibat juga boleh merujuk atau mendapatkan penjelasan lanjut menerusi pelbagai saluran seperti laman sesawang SST, pusat panggilan kastam dan pejabat kastam negeri yang berhampiran,” katanya.

Selain itu, Subromaniam berkata sebanyak 20,000 hingga 25,000 syarikat akan mendapat manfaat berikutan pelaksanaan pengecualian cukai perkhidmatan melibatkan kumpulan profesional (Kumpulan G) yang memberi perkhidmatan sama kepada orang berdaftar lain dalam kumpulan sama yang bermula esok.

Menurutnya, pengecualian cukai itu juga dapat mengelak peningkatan kos akibat cukai berganda serta mengekalkan daya saing industri perkhidmatan tempatan. – BERNAMA


Tiada ulasan: