Selasa, 1 Januari 2019

Bersatu sudah tonjolkan ‘wajah sebenar’ – IPF

Kasthuri Jeevendran

xIPF-sambanthan
Datuk M. Sambanthan


KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kini menerajui negara bersama-sama kerajaan Pakatan Harapan (PH) dikritik kerana menanam kebencian demi kuasa.

Parti itu turut dikecam hebat kerana berterusan melaungkan slogan-slogan retorik serta meracuni pemikiran rakyat untuk membenci kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO atas alasan rasuah.

Menurut Presiden Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Datuk M. Sambathan, selama ini Bersatu bersama-sama PH bercakap besar tentang isu rasuah dan kronisme tetapi apabila terkena pada batang hidung sendiri, terdiam terus.

“Saya tidak faham, selama ini segala macam tuduhan dilemparkan kononnya kerajaan sebelum ini telah menggunakan kuasa sebagai parti pemerintah untuk kedudukan serta kepentingan sendiri serta parti.

“Peliknya, selepas mereka (PH) berkuasa, tanpa segan silu boleh pula bercakap secara terbuka dan lantang  tentang bagaimana boleh menggunakan kuasa politik untuk kedudukan serta peruntukan demi memastikan survival politik mereka.

“Bukankah anda cakap kata UMNO dan BN salah guna kuasa? Habis sekarang kenapa bila anda ada kuasa maka boleh buat sesuka hati? Sebelum ini bukan main hebat bercakap atas pentas bahawa jika rakyat mengundi anda, anda hanya amanah dan ‘pekerja’ untuk rakyat.

“Apa sudah jadi kini? Sampai boleh bercakap tentang menggunakan kedudukan sebagai kerajaan hari ini untuk menyalurkan sumber-sumber dan projek-projek kepada ketua cawangan untuk membolehkan mereka memenangi pilihan raya ‘dengan cara apa jua’. Macam ludah ke langit kena balik ke muka sendiri.

“Rakyat nampak, siapa sebenarnya yang tidak sabar untuk rasuah selepas menipu rakyat terang-terangan untuk memastikan kuasa beralih arah dan boleh buat apa sahaja sesuka hati,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sambathan yang juga Ahli Dewan Negara mengulas kenyataan Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mengarahkan pemberian kontrak secara kronisme dan rundingan terus dalam usaha meraih sokongan penduduk setempat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Abdul Rashid ketika menyampaikan ucapan penggulungan mendesak peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dikembalikan supaya sistem itu memanfaatkan ketua cawangan dan bahagian parti, selain diberikan semula kepada masyarakat setempat.

Beliau dilaporkan berkata, kaedah itu berupaya memastikan ketua bahagian dan cawangan mempunyai peruntukan mencukupi untuk menjalankan program di kawasan mereka, sekali gus meraih sokongan pengundi.

Jelas Sambathan, kerajaan PH ketika ini sudah mula menonjolkan ‘warna sebenar’ selepas mendapat kuasa.

“Bagaimana kerajaan BN kalah? Kerana kerajaan yang menang kini telah taburkan pelbagai janji yang sememangnya tidak boleh ditunaikan tetapi tetapi meracuni fikiran rakyat kononnya jika mereka dapat berkuasa, semua itu boleh jadi kenyataan.

“Apabila sudah memegang kuasa itu, mereka membuat pelbagai jenis pusingan ‘U’ dengan alasan semuanya tidak dapat dilaksanakan kerana bebanan hutang yang telah ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

“Sampai bila hendak ‘kelentong’ rakyat? Sampai bila mahu menipu dan menuding jari? Sampai bila mahu berpolitik? Cukuplah, rakyat sendiri sudah mula bosan dengan permainan politik kerajaan baru ini yang ternyata langsung tidak dapat bersatu padu sebaliknya bergaduh antara satu sama lain.

“Pilihan raya parti juga mengundang pelbagai isu namun semua itu diamkan sahaja dan sibuk mendakwa pemimpin UMNO dan BN, malah sanggup pula bertolak ansur dengan melakukan ‘persefahamaan’ sehingga ada melompat parti,” tegasnya. –MalaysiaGazette


Tiada ulasan: