Selasa, 22 Januari 2019

Serangan Guan Eng macam politik kongsi gelap - Reezal

Astro Awani
Serangan Guan Eng macam politik kongsi gelap - Reezal
REEZAL MERICAN: Malang untuk negara mempunyai Menteri Kewangan yang menggunakan kedudukan untuk mengatur serangan politik. -Gambar fail
 

KUALA LUMPUR: Serangan terbaharu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terhadap Kerajaan Negeri Pahang bermotifkan politik dan mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands 26 Januari ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Guan Eng tidak sewajarnya menggunakan medium dan kedudukannya untuk melancarkan serbuan fakta ekonomi yang merosakkan hubungan negeri dan pusat.

"Ini bukan cara ahli politik budiman. Ini taktik ugut ala kongsi gelap yang diperkenalkan Kementerian Kewangan.

"Saya kesal ini budaya politik Malaysia Baharu yang kurang adab dan tertib. Malang untuk negara mempunyai Menteri Kewangan yang menggunakan kedudukan untuk mengatur serangan politik berbanding menjaga kesejahteraan rakyat.

"Di dalam konsep federalisme fiskal di Malaysia, isu ini wajar diselesaikan secara musyawarah dan bukannya serbuan politik begini," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

BACA: Bukan mudah untuk kembali bangkit, tiga tahun untuk pulihkan ekonomi - Guan Eng

BACA: 
Saya tak pernah sebut projek, saya kata pembangunan - Guan Eng

Guan Eng dalam satu kenyataan pada Selasa mendedahkan Pahang mempunyai defisit terkumpul sebanyak RM228.37 juta.

Katanya, keadaan defisit itu mencerminkan pengurusan kewangan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berhemah.

Dalam pada itu kata Reezal yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas menjelaskan serangan politik bersiri yang dipelopori Guan Eng terhadap beberapa buah negeri yang tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan mutakhir ini amat tidak wajar sama sekali.

Tegasnya, Guan Eng perlu berhenti mengurus Perbendaharaan negara ala kongsi gelap dan menghormati kedudukan dan keperluan negeri-negeri.

"Tumpu kesejahteraan rakyat. Bukannya bawa politik peras ugut.

"Jangan lupa dengan fakta bahawa kepimpinan Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang juga pada suatu ketika dibantu dengan ihsan dan kerjasama Kerajaan Persekutuan.

"Ini semangat federalisme yang unggul, bukan sebaliknya," tegasnya.

Tiada ulasan: