KUALA TERENGGANU:
Pertemuan Pegawai Khas Menteri Besar, Dr Bala Chandran Gopal Krishnan
dan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Kuala Terengganu, Jefri Chua
dengan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim bertukar
menjadi satu sesi 'tazkirah'.
Selama tiga jam bersua muka itu, Amzad
menghurai suasana dan realiti kehidupan rakyat yang lahir di bawah
pemerintahan PAS di Kelantan dan Terengganu, termasuk dalam menangani
perbezaan yang wujud antara agama, kaum dan budaya masyarakatnya.
Di mana jelas Amzad, kerjasama erat
antara kaum dan agama berlaku secara cakna dan saksama dalam segenap
aspek pembangunan, tanpa adanya pengabaian terhadap kaum minoriti,
sekalipun PAS belum dijadikan pilihan undi oleh mereka.
"Khususnya di Kuala Terengganu, jentera
PAS cekap menangani masalah rakyat. Ini perlu sebagai tampilan akhlak
dan kemesraan yang disenangi semua. Hal ini memberi gambaran mengenai
PAS itu sendiri.
"Bahawa inilah model hubungan dan
keharmonian antara kaum dan agama jika PAS di posisi kerajaan. Ini semua
akan diperhatikan di peringkat nasional. Ia sekali gus adalah harapan
bahawa PAS menjadi contohnya.
"Ini akan memberi kelegaan kepada
suasana tidak tenang dan agak tegang yang wujud di seluruh negara oleh
sikap PH dalam beberapa perkara sensitif seperti ICERD, isu kuil dan
terkorbannya Allahyarham Mohd Adib," hujahnya.
Seru beliau yang dipersetujui Dr Bala
dan Jefri supaya mesej penting seperti itu mesti sampai kepada seluruh
rakyat bahawa dengan Islam seluruh lapisan masyarakat beroleh kehidupan
penuh kesejahteraan dan kemakmuran. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan