Polis Marin perluas operasi di kawasan 40 meteri persegi radius
GEORGE TOWN
– Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah kereta bersama pemandunya
yang terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan di
Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang, awal pagi semalam disambung semula
pukul 7 pagi hari ini.
Komander
Pasukan Polis Marin Wilayah 1, ACP Rosman Ismail berkata, operasi SAR
yang ditamatkan kira-kira pukul 7 petang semalam dan bermula pagi ini
dengan kekuatan kira-kira 30 pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin
dengan kerjasama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
Pulau Pinang.
“Selain
itu, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) turut terlibat dalam
operasi hari ini dan sebanyak lima buah bot masing-masing dua dari Polis
Marin dan JBPM serta sebuah dari APMM,” katanya ketika dihubungi di
sini hari ini.
Menurutnya,
operasi SAR hari ini diperluaskan di kawasan 40 meter persegi radius
berbanding 25 meter persegi radius semalam bagi mencari kereta jenis
utiliti sukan Mazda CX-5 yang terhumban itu.
“Selain itu, empat anggota pasukan penyelam Polis Marin turut menyelam bagi mencari kereta dan pemandunya,” katanya.
Rosman
berkata, operasi SAR dihentikan pada pukul 7 petang semalam berikutan
keadaan cuaca yang semakin gelap sebelum disambung semula pagi ini.
“Kami harap operasi SAR hari ini berjalan lancar dan dapat menemui kereta berkenaan,” katanya.
Dalam
kemalangan pukul 2.54 pagi itu, sebuah kereta terhumban ke dalam laut
selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan di Kilometer 4.0
Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, dekat sini awal pagi semalam.
Pemandu
kereta yang terhumban ke dalam laut itu adalah seorang lelaki dikenali
sebagai Moey Yun Peng berusia 20 tahun dan merupakan pelajar sebuah
kolej swasta.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan