Jumaat, 11 Januari 2019

Petrol RON97, RON95 turun satu sen, diesel naik satu sen

MALAYSIAKINI

   

Harga runcit petrol RON97 dan RON95 turun satu sen kepada RM2.22 dan RM1.92 seliter masing-masing manakala harga diesel naik satu sen kepada RM2.05 seliter mulai tengah malam ini hingga 18 Jan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata penetapan harga runcit produk petroleum bagi minggu tersebut (12-18 Jan) adalah mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Kerajaan Persekutuan telah mengotakan janji untuk melaksanakan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

“Demi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga yang ketara apabila harga minyak dunia meningkat, harga runcit produk​​​​​​​ petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel melalui pemberian subsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Lim, ​​​​​​​kaedah mingguan itu yang menurunkan harga runcit produk petroleum apabila harga minyak dunia turun dan mengehadkan pada RM2.20 bagi RON95 dan RM2.18 untuk diesel apabila harga minyak dunia naik, merupakan inisiatif baharu kerajaan Pakatan Harapan demi melindungi kepentingan golongan B40 yang tidak pernah diamalkan oleh kerajaan terdahulu.

“Had harga minyak ini akan dibatalkan apabila subsidi minyak bersasar dilaksanakan pada pertengahan tahun ini,” katanya.

Mulai 5 Jan lepas, harga runcit produk petroleum telah ditetapkan secara mingguan apabila harga runcit bagi produk petrol RON97 diturunkan pada paras RM2.23 seliter manakala harga runcit petrol RON95 diturunkan kepada RM1.93 seliter dan harga runcit bagi produk diesel diturunkan pada paras RM2.04 seliter.

Bagi minggu-minggu yang seterusnya, harga runcit akan diselaraskan semula mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula APM.- Bernama


Tiada ulasan: