Khamis, 17 Januari 2019

Penutupan jalan secara berperingkat sempena perarakan Thaipusam

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Beberapa jalan sekitar ibu negara akan ditutup secara berperingkat mulai Sabtu ini sempena sambutan perayaan Thaipusam 21 Jan ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Supt Sharifudin Mohd Salleh berkata Jalan Tun H.S. Lee akan ditutup kepada semua kenderaan bermula pukul 12 tengah hari.

Laluan sekitar Kuil Sri Mariaman pula akan ditutup secara berperingkat bermula pukul 7 malam pada Sabtu, manakala lain-lain laluan perarakan, penutupan jalan akan dilakukan sekitar pukul 10 malam secara berperingkat mengikut pergerakan kumpulan terbabit dan akan dibuka semula selepas perarakan selesai, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata perarakan kereta sami bermula Sabtu ini pada pukul 10 malam dari Kuil Sri Mariaman, Jalan Tun H.S. Lee ke Kuil Subramaniar Batu Caves dan dijangka tiba sekitar pukul 2 petang pada Ahad.

Katanya perarakan itu akan melalui Jalan Tun H.S. Lee; Jalan Sultan; Jalan Tun Tan Cheng Lok; Jalan Tun Perak; Jalan Leboh Ampang; Jalan Ampang; Jalan Munshi Abdullah; Jalan Dang Wangi; Jalan Raja Laut; Jalan Ipoh/ Jalan Sri Amar; Jalan Tun Razak (pusingan “U” di hadapan Balai Bomba); Jalan Ipoh Batu 5; Jalan Kuching; dan Bulatan Batu Caves.

Perarakan kereta sami ini akan kembali ke Kuil Sri Mariaman pada Selasa (22 Jan) kira-kira pukul 4 petang dan dijangka sampai pukul 2 pagi pada Rabu (23 Jan), katanya.

Tiada ulasan: