Penahanan Presiden Skuad Badar Azhar Mohamad tidak melemahkan kumpulan antikhalwat itu, sebaliknya mereka berazam akan bergerak dengan lebih giat lagi.
Salah seorang penggerak kumpulan itu, Ahmad Husam Baderudin mengingatkan agar pihak berkuasa agama "tidak ego" dan memberi kerjasama dengan kumpulan sukarelawan itu.
"Penahanan ini tidak menjejaskan kerja amal Skuad Badar, sebaliknya ia memberi lebih lagi semangat kepada kami.
"Jika sebelum ini kita bergerak sekitar '80 kilometer sejam' kali ini kita akan tingkatkan lagi mungkin '120 kilometer sejam'.
"Kita minta pihak penguatkuasa turunkan ego, mereka tidak mampu untuk mencegah maksiat sendirian, apa salahnya jika kita jalinkan kerjasama.
"Kalau polis pun ada polis sukarela, inikan pula kita yang secara sukarela ingin membantu pihak penguatkuasa mencegah kemungkaran," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Azhar ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran Akta Pertubuhan dan Akta Rahsia Rasmi.
Beliau ditahan semalam bersama seorang lagi ahli NGO itu yang berusia 30-an, di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuala Muda.
Difahamkan penahanan kedua-dua mereka susulan laporan yang dibuat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) terhadap Azhar seperti yang tular di laman sosial.
Azhar dikatakan ditahan kerana melakukan aktiviti penguatkuasaan tanpa kebenaran JHEAIK dan skuad itu tidak pernah dilantik menjadi penguatkuasa agama yang sah.
Skuad Badar terkenal dengan sesi tarbiahnya terhadap pasangan ditangkap khalwat yang dijalankan di atas kubur.
Sementara itu Ahmad Husam berkata pihak Skuad Badar sudah beberapa kali ingin mengadakan pertemuan dengan pihak jabatan agama namun tidak mendapat kerjasama sewajarnya.
"Di awal penubuhan Skuad Badar tiga tahun lalu, kita sudah buat operasi, namun kita hentikan apabila mahu mendaftarkan pertubuhan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Kita hantar surat mohon sokongan polis, tetapi pihak polis kata kena minta dengan jabatan agama. Bila pergi minta jabatan agama, mereka tidak memberi kerjasama yang baik.
"Akhirnya kita hentikan (operasi), kita bagi maklumat tentang isu khalwat, laporan tentang rumah urut yang mana orang Melayu Islam terbabit, tetapi pihak penguatkuasa gagal bertindak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan