Jumaat, 4 Januari 2019

Nurul Izzah berkorban atau terkorban?




Amat malang bagi mana-mana menteri yang telah mendapat kuasa politik menerimanya sebagai satu hidangan yang lazat lagi mengenyangkan, lantaran tidak bersedia mahupun sebenarnya kuasa tersebut menyerlahkan rupa sebenar isi hati menteri yang malang tersebut.

Akan tetapi, amat beruntunglah rakyat yang kebanyakan dari segenap lapisan masyarakat, dipimpin oleh menteri yang senantiasa sedar dirinya adalah insan dipilih rakyat yang sedikit untuk sedia berkhidmat dengan sabar dan istiqamah menjaga kebajikan rakyat, seterusnya menjadikan Malaysia disegani dan dihormati di mata dunia.

Masa di akhir zaman ini tersangat suntuk, 2018 Malaysia mencipta pelbagai sejarah dan polemik, tetapi pada hemat saya, rata-rata rakyat telah mual dengan amalan rasuah dan salah laku itu kunci utama kejatuhan Umno-Barisan Nasional (BN) setelah 6 dekad memerintah.

Kes kepincangan salah urus pentadbiran paling kecil yang saya amati adalah apabila pelancong keluar dari lapangan terbang menuju ke ibu kota, papan tanda iklan terbesar yang mengalu-alukan kedatangan mereka adalah “Visit Indonesia” (dengan gambar-gambar gunung-ganang dan kepulauan yang memukau). Ketika hendak pulang, papan tanda “Amazing Thailand” pula mengiringi ucapan selamat tinggal kepada para pelancong.

Mungkin ramai yang marah, bagaimana kenaikan melampau harga makanan di restoran sederhana dan kedai mamak, ditambah lagi penguatkuasaan larangan merokok, tetapi bagi saya, industri pelancongan adalah kunci utama kepada ekonomi lebih teguh.

Terdapat 2 lapangan terbang utama akan siap pada 2019 yang bakal mengubah landskap ekonomi dunia, iaitu sebuah di Turki dan sebuah lagi di China. Sementara Malaysia mengambil pendekatan amat unik, iaitu kembali bertaut dengan Jepun yang sedang berhempas pulas menangani pesaing ekonominya, iaitu Korea Selatan dan China.

Keadaan di Timur Tengah pula amat mendebarkan, setelah Syria gagal dimusnahkan Israel dan Amerika Syarikat (AS) seperti yang terjadi kepada Libya, kini banyak negara Arab dan sekitarnya, seperti Qatar, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menunjukkan solidariti politik bersama Iran, Lubnan, Iraq, Afghanistan dan Turki agar peperangan di Yaman oleh Arab Saudi dibendung dan dikutuk terus.

Kehandalan blok Iran, Rusia dan Turki dalam mengalahkan agenda penguasaan kotor blok AS, Israel dan Saudi tidak boleh disangkal lagi dan mungkin dalam tahun-tahun mendatang, geopolitik dunia akan berubah menjadi lebih rumit, jika tidak diamati dengan teliti.

Dasar negara berkecuali mungkin tidak relevan lagi dalam masa terdekat.

Seringkali sesuatu kegagalan itu dinyatakan dengan istilah salah percaturan. Sejak pandai bermain catur, bermula kurang lebih 30 tahun lalu, ada beberapa persoalan yang bermain di fikiran saya, antaranya mengapa “Queen” mempunyai kuasa penuh dalam permainan catur mengalahkan “King” dan apabila kalah, mengapa disebut “checkmate”?

Tanpa diduga, setelah lebih berpuluh kali beradu catur bersama anak saya yang baru berusia 9 tahun, beliau buat pertama kali “checkmate” saya di ambang tahun baru 2019 yang lepas.

Tersentak dengan kekalahan tersebut, saya terus mengkaji beberapa bentuk strategi terkini permainan catur di Google dan YouTube. Apa yang saya dapati lebih mengejutkan!

Juara dunia catur bukan lagi Garry Kasparov, tetapi kini juara catur dunia masih direbut 2 pemuda awal 20-an, Magnus Carlsen dari Norway dan Vishwanathan Anand dari India. Mereka berdua telah lama mengalahkan Kasparov seawal usia 9 tahun lagi.

Saya sempat meneliti 7 kekalahan Kasparov yang pernah dinobat mempunyai minda lebih hebat daripada 100 komputer. Banyak kekalahan beliau berpunca daripada kelalaian.

Pernah sekali Anand mengambil 3 minit daripada 5 minit, masa permainan yang dibenarkan hanya untuk gerakan ke-4 beliau, lalu akhirnya beliau mengalahkan Kasparov.

Catur sebenarnya permainan berasal dari India yang banyak berubah kerana bangsa Parsi dan Inggeris. Kemusykilan lama saya telah terjawab, “Queen” sebenarnya wazir (penasihat) dan “checkmate” adalah perkataan diambil daripada bahasa Parsi, “Shah maat” (Raja telah mati).

Juara dunia catur belum dapat dinobatkan kerana Carlsen dan Anand masih beradu bertahun-tahun dalam banyak permainan dalam satu-satu masa.

Segala bentuk percaturan berasal daripada hal terpenting, iaitu mengenal musuh.

Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib meriwayatkan:

“Ada 3 jenis teman dan ada 3 jenis musuhmu. Temanmu sendiri, sahabat temanmu dan lawan musuhmu. Adapun musuhmu ialah musuhmu, musuh temanmu dan teman musuhmu.”

Saya tidak nampak Umno-BN sebagai musuh kerajaan Pakatan Harapan (PH). Akan tetapi, demi legasi dan kuasa, sedihnya musuh kerajaan PH kini terdapat dalam parti komponen PH itu sendiri.

Dalam hal ini, teguran Tunku Mahkota Johor ada benarnya, kerajaan PH lebih jelas nampaknya berpolemik sesama sendiri yang tanpa disedari telah terkesan kepada pentadbiran.

Sebenarnya, menerima Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri ke-7 adalah percaturan salah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Falsafah kepimpinan kedua-dua negarawan ini jelas berbeza (yang membuatkan Anwar memulakan gerakan reformasi 20 tahun lepas).

Majoriti editor kanan surat khabar terkemuka di Malaysia meramalkan perang kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar ini akan lebih terserlah, jika Dr Mahathir sendiri tidak rela melepaskan jawatan dalam masa terdekat.

Dr Mahathir sepatutnya diangkat menjadi menteri mentor seperti mendiang Lee Kuan Yew di Singapura dan fokus untuk membaiki kerosakan atas kesilapan beliau dalam pelantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

Anwar perlu segera menjadi perdana menteri mengikut pendekatan dan falsafah beliau yang tersendiri agar kerajaan PH lebih kukuh dan stabil, yang akhirnya bermanfaat untuk rakyat dan masa depan Malaysia.

Bulan terakhir 2018 tercatat pelbagai peristiwa menarik:

1. Ramai ahli Parlimen Umno keluar parti, tetapi sehingga kini menjadi wakil rakyat bebas.

2. Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kuasa kepada timbalannya.

3. Nurul Izzah Anwar, Puteri Reformasi meletak semua jawatannya dalam PKR akibat kecewa dengan situasi politik dalaman PKR.

4. Jose Mourinho dipecat dengan bayaran ganti rugi lumayan oleh kelab Manchester United.

Hanya peristiwa ke-4 sahaja menampakkan manfaatnya, apabila Manchester United kembali memenangi satu persatu perlawanan sejak ketiadaan Mourinho, si ‘Special one’. Jarang-jarang berlaku, setiap kali jaringan gol, penyokong Manchester United melaungkan nama “perdana menteri” baru mereka; Ole, Ole, Ole! Bukan nama pemain yang telah menjaringkan gol tersebut.

Begitu juga kehambaran pentadbiran kerajaan PH ini perlu segera diubah kerana saya amat yakin percaturan di antara Dr Mahathir dan Anwar ini langsung tidak bermanfaat. Askar-askar (aktivis) mana pula hendak dikorbankan? Kuda-kuda politik mana pula hendak ditunggang? Agamawan mana pula hendak dipergunakan?

Dan jika tidak mengambil falsafah “Queen” itu adalah penasihat (wazir), permaisuri mana pula akan terkorban dalam percaturan ini.

Seperti nampaknya Puteri Reformasi telah terkorban dan kuda politik bernama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah beralih tuan.

Atau mungkin sangkaan saya yang salah, sebenarnya pertandingan catur ini bukan antara Anwar dan Dr Mahathir, tetapi antara kerajaan PH dengan rakyat yang terluka dengan alasan kerajaan mengalami masalah kewangan kritikal.

Hugo Chavez sewaktu menjadi presiden Venezuela mengambil risiko besar dalam percaturan politik beliau, iaitu meminjam jumlah banyak dari pelbagai sumber untuk memberi kesenangan kepada rakyatnya.

Terbukti, ketika itu kadar kemiskinan, inflasi menurun, peluang pekerjaan bertambah. Malangnya, setelah beliau meninggal dunia, Venezuela kini mengalami krisis ekonomi amat parah. Pendekatan yang lebih kurang sama diambil Najib.

Seperti sejarah permainan catur yang telah ditambah baik oleh bangsa Parsi (Iran), terbukti betapa hebatnya Iran sejak mengusir perompak AS, Israel dan Britain dari negara itu ketika revolusi Islam 1979, Iran dikenakan sekatan ekonomi oleh AS. Untuk memahami betapa zalimnya sekatan ini, mana-mana negara yang didapati berurusan dengan Iran, turut akan dikenakan tindakan.

Akan tetapi, republik Islam Iran terus mara dalam serba-serbi kemajuan, daripada ilmu, teknologi dan juga ketenteraan. Bahkan dapat membantu negara-negara Islam yang ditindas seperti Palestin, Lubnan, Iraq dan Syria.

Para pembaca yang budiman sekalian, benarlah wasiat Rasulullah dalam sebuah hadis yang dihasankan Imam at Tirmidzi:

Hadis yang diriwayatkan oleh Baihaqi, Tirmidzi dan lain-lainnya dari Abu Hurairah berkata:
“Rasulullah membaca ayat ini sampai akhir (Al-Quran Surat Muhammad (47) ayat 38).”

Maka para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Siapakah orang-orang itu yang jika kami berpaling, mereka akan menggantikan kami dan mereka tidak seperti kami?”

Maka Rasulullah menepuk bahu Salman al Farisi, kemudian berkata: “Inilah orangnya bersama kaumnya, demi Allah yang diriku di tanganNya, seandainya agama itu tergantung di bintang Surayya, dia akan dicapai oleh orang-orang dari Parsi.”

Salam Jumaat pertama 2019, penuhilah hari penuh rahmat dan maghfirah ini dengan memperbanyakkan selawat kepada Rasulullah berserta ahli keluarganya yang suci.

*Luqman Hisyam ialah pembaca FMT.

Tiada ulasan: