Khamis, 3 Januari 2019

Najib: Kalau tak puas hati, boleh klaim dari Guan Eng

MALAYSIAKINI

   

Bekas perdana menteri Najib Razak menempelak Menteri Industri Utama Teresa Kok mengenai dakwaan pentadbiran BN sebelum ini telah memaksa Lembaga Getah Malaysia menjual 2,800 ekar tanahnya dengan harga di bawah pasaran.

"Teresa Kok mendakwa Lembaga Getah Malaysia (LGM) milik kerajaan telah rugi RM780 juta kerana Aset Tanah Nasional Berhad yang juga milik kerajaan telah untung RM780 juta apabila menjual tanah itu dua tahun kemudian kepada KWSP.

"Jika Teresa Kok masih tidak puas hati, boleh claim balik RM780 juta ini dari Guan Eng," kata Najib dalam hantaran terbaru di Facebook.

Pada hantaran Facebook terdahulu hari ini Najib berkata urus niaga yang melibatkan dua agensi kerajaan itu mengumpul berbilion ringgit keuntungan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

"MRB ialah agensi milik penuh kerajaan Malaysia. ATNB juga ialah agensi milik penuh kerajaan Malaysia.

"Syarikat Kwasa Land pula ialah syarikat milik penuh KWSP dan telah mula memajukan tanah itu untuk membina pusat bandar baru termasuk kediaman untuk 150,000 orang dengan nilai pembangunan kasar sekurang-kurangnya RM50 bilion," kata Najib yang juga bekas menteri kewangan.

Tuduh BN paksa kerajaan jual tanah

"Ini bermakna Teresa Kok telah menuduh BN telah memaksa kerajaan untuk menjual tanah kerajaan kepada kerajaan dan selepas itu memberi peluang untuk KWSP mengaut keuntungan berpuluh-puluh bilion untuk pencarum mereka," jelas Najib.




Terdahulu hari ini, Kok mendakwa MRB 'terdapat kekurangan' sebanyak RM800 juta selepas dipaksa menjual 2,800 ekar tanahnya pada Oktober 2010 dengan harga di bawah pasaran kira-kira RM2.28 bilion pada 2012.

Malay Mail memetik Kok berkata kementeriannya mendapat tahu tanah itu kemudiannya dibeli oleh Kwasa Land (KWSP) dengan harga RM2.28 bilion pada 2012.

Memetik harga jualan RM2.28 bilion itu, Najib berkata berbagai analisis pasaran pada ketika itu menilai penjualan langsung pada harga RM18.70 sekaki kepada Kwasa Land sebagai berpatutan.

Menjelaskan lanjut, Najib berkata rakyat hari ini dapat mengenal pasti kawasan itu sebagai Kwasa Damansara, sebuah pembangunan hartanah baru yang melibatkan stesen MRT.

Beliau memaklumkan kawasan itu terletak di dalam parlimen Subang yang menjadi sebahagian daripada Perancangan Strategik untuk Pembangunan Wilayah (Greater Kuala Lumpur Strategic Development Project) di bawah Rancangan Malaysia ke-10.

Payung pokok getah, duta sawit

"Amatlah kejinya kerajaan BN dahulu untuk menjaga kroni-kroni mereka, iaitu pencarum-pencarum KWSP.

"Begitu kejamnya kerajaan BN dahulu untuk menjalankan projek pembangunan seperti diumum di dalam RMK-10 itu," sindir Najib.

Bekas presiden Umno itu juga menggesa Kok untuk menumpukan nasib pekebun getah dan kelapa sawit.

"Adakah Teresa Kok tidak ada kerja lain seperti memelihara nasib pekebun ataupun menaikkan harga sawit dan menubuhkan kelab kelapa sawit?

"Kalau macam ini, saya rasa mungkin lebih baik untuk beliau fokus kembali kepada rancangan payung pokok getah dan duta sawit dia," katanya.

Pada sidang akhbar di kementeriannya hari ini, Kok turut mendedahkan kabinet pada 2010 telah mengarahkan MRB untuk menggunakan RM1.5 bilion yang diterima daripada penjualan tanah tersebut untuk membangunkan baki tanah seluas 585 ekar.

Bagaimanapun, rancangan untuk membangunkan lima binaan di sana telah dibatalkan oleh lembaga pengarah terdahulu pada Februari 2018 selepas ia mendapati cuma lima peratus sahaja projek pembinaan yang siap selepas enam tahun.

LIHAT FB DI SINI

Tiada ulasan: