Selasa, 15 Januari 2019

Najib: Hakim kata duit minyak pun kira rasuah

MALAYSIAKINI

   
Bekas perdana menteri Najib Razak berkata hakim yang mengumumkan keputusan mahkamah untuk membatalkan kemenangan calon BN di Cameron Highlands pada PRU ke-14 mengkategorikan duit minyak sebagai rasuah.

Dalam kenyataan di Facebook, Najib berkongsi laporan Malaysiakini bertarikh 30 Nov yang memetik Hakim Mahkamah Pilihan Raya Azizah Nawawi.

"Tak kira pemberian itu dalam bentuk duit minyak atau duit rokok, ia tetap rasuah," kata hakim itu seperti dipetik dalam laporan berkenaan.

Kenyataan Najib itu merujuk kepada penjelasan Pakatan Harapan (PH) berhubung gambar yang memaparkan individu memakai baju kempen PH Cameron Highlands mengagihkan wang.

PH sebelum ini menjelaskan bahawa pihaknya hanya membayar balik wang minyak kepada sukarelawan yang membantu pada hari penamaan calon.

"PH kata tak salah. Calon DAP kata ini tidak salah. Bersoh tanya mana ada salah? SPR juga kata tidak ada kuasa untuk menyiasat.

"Tetapi hakim kata, tak kira pemberian itu dalam bentuk duit minyak atau duit rokok, ia tetap rasuah.

"Begitulah pendapat hakim pada bulan November tahun lepas apabila mengumumkan keputusan mahkamah untuk membatalkan kemenangan calon BN di Cameron Highlands pada PRU14," katanya.

Susulan penjelasan PH, Pengerusi Bersih Thomas Fann ketika diminta mengulas isu itu berkata, tidak menjadi kesalahan pilihan raya bagi sesebuah parti politik membayar balik kos petrol sukarelawan yang terlibat kempen parti mereka.

Sementara calon PH M Manogaran menyifatkan penularan gambar berkenaan bukan masalah yang besar, kecuali ia diberikan sambil mengharapkan balasan undi.

Bagaimanapun, tidak semua pihak berpuas hari dengan penjelasan PH.

Presiden MCA Wee Ka Siong menyindir PH sebagai memberi definisi baru bagi perkataan 'sukarelawan'.

Ketua Biro Politik Pemuda MIC Arvind Krishnan pula mencabar manogaran membuktikan sukarelawan dalam gambar berkenaan bukan pengundi Cameron Highlands.

Untuk rekod, PRK Cameron Highlands diadakan selepas hakim Mahkamah Pilihan Raya pada Nov lalu membatalkan kemenangan calon BN Sivarraajh selepas mendapati berlaku pembelian undi.


 

Tiada ulasan: