Khamis, 17 Januari 2019

“Menggigit mereka yang terbabit, menggugat mereka yang terlibat”.

 
 

    AHMAD LUTFI OTHMAN

Prestasi Pakatan Harapan memenuhi janji dan manifesto pilihan raya sentiasa di bawah teropong. Ia dipantau dengan rapi, bukan sahaja selayaknya oleh barisan pembangkang tetapi juga rakyat keseluruhannya.

Kita mendengar di mana-mana sungutan dan keluhan rasa tidak puas hati itu. Kebanyakannya kurang sabar melihat kemajuan yang perlahan, terutama berkaitan bebanan kos sara hidup dan kenaikan harga barangan asas.

Di bawah regim lama, segalanya dipusatkan untuk mempertahankan kuasa perdana menteri.

Manakala budaya sogokan dan korupsi seperti menjadi darah daging sebati dalam kebanyakan setiap lapis urusan kerajaan.

Perdana Menteri sendiri mengakui beliau pun kurang berpuas hati dengan perubahan kerajaan baharu, mungkin difaktorkan kurang pengalaman dan tidak disokong jentera pentadbiran yang efisyen, tetapi sedia memberikan ruang secukupnya untuk jemaah Kabinet mempamerkan kualiti kerja yang diharapkan rakyat.

Selain majoriti menteri kurang berpengalaman sebagai anggota pentadbiran, keadaan kewangan yang diwarisi daripada regim kleptokrat terdahulu cukup teruk, jentera pelaksanaan juga banyak terpalit dengan kes rasuah dan salahguna kuasa.

Fasa pertama pembersihan dan pembaharuan sudah dimulakan. Pelbagai jawatankuasa dibentuk untuk nembanteras rasuah, memantapkan tadbir urus, menjimatkan perbelanjaan dan mengembalikan integriti.

Sekurang-kurangnya ada perasaan lega dan lapang menyaksikan proses reformasi berjalan di atas landasan yang tepat. Mungkin dirasakan lambat dan perlahan, tidak sepertimana jangkaan publik, namun ramai mengharapkan tahun 2019 ini, ia bergerak lebih pantas.

Rakyat tidak takut lagi untuk bersuara dan meluahkan kritikan terhadap pemerintah, sehingga timbul keresahan kita memberi ruang yang begitu bebas dan boleh disalahguna.

Sehingga timbul cadangan bagi mengembalikan penguatkuasaan undang-undang yang keras dan tegas. Mereka bimbang kestabilan negara dan keharmonian antara kaum boleh terjejas apabila kebebasan bersuara itu dibuka seluas-luasnya.

Dalam amalan demokrasi, elemen kebebasan media yang begitu penting itu jarang dilihat oleh orang awam sebagai tonggak utama sistem bernegara. Ia jarang dituntut dan diperjuangkan.

Manakala bagi penguasa pula, media bebas dianggap sebagai seteru atau pihak yang dimusuhi apabila segala kebejatan bakal dibongkar dan diselongkar.

Perkembangan yang positif dan membanggakan apabila pentadbiran baharu Pakatan Harapan menunjukkan iltizam yang tinggi, selama lapan bulan memerintah, untuk tidak lagi mengongkong atau mengawal ketat media. Hak asasi untuk bebas bersuara telah diiktiraf.

Mengenang zaman gelap media ditindas dahulu, seperti tidak terbayangkan peritnya. Permit akhbar terlalu sukar diperolehi, malah hampir mustahil diberikan kepada individu yang tidak mesra elit penguasa. Malah untuk mencari pencetak pun, untuk tempoh tertentu, amat sukar sekali.

Lidah rasmi parti pembangkang, seperti Harakah dan Suara Keadilan, yang begitu terbatas kemampuannya, dikenakan syarat yang karut-marut, misalnya tidak boleh dijual di tempat awam, hanya untuk ahli sahaja dan pelbagai peraturan baharu yang ditambah bila-bila masa diperlukan. Kini organ parti bebas dijual di pasaran terbuka.

Kini, akhbar yang diketahui umum dikuasai mutlak parti pembangkang, misalnya Utusan Malaysia, dibiarkan bebas mengkritik kerajaan dan mempromosi Umno.

Sebenarnya tiada rugi pun untuk membenarkan apa jua saluran rakyat berinteraksi tanpa diselubungi budaya takut. Malah kerajaan yang cakna suara berbeda mendapat manfaat besar apabila dasar-dasar dan pelaksanaan programnya diberikan respons segera yang jujur. Dengan itu, boleh segera dilakukan penambahbaikan stau penyesuaian agar selari dengan kehendak rakyat.

Kita masih belum mendengar ada usaha terancang Pakatan Harapan bagi mengambil alih akhbar atau media utama sedia ada. Mungkin penyokong PH tidak selesa dengan situasi itu, sebaliknya mereka mengharap parti pemerintah segera menguasai syarikat-syarikat media itu. Tetapi bagi saya, ia sikap terbuka yang boleh menyuburkan kebebasan media yang merupakan tiang seri demokrasi yang sudah lama hilang.

Tidak sedikit yang kurang berpuas hati dengan laporan dan persembahan media kerajaan, seperti RTM dan Bernama. Hujah mereka, banyak agenda pembaharuan pemerintah tidak diketahui awam.

Serangan oposisi pula tidak ditangkis dengan baik menyebabkan khalayak mudah terkeliru dengan propaganda. Agak menyedihkan pula apabila media sosial disumbatkan dengan hantaran yang menyalahtafsirkan dasar dan program kerajaan tetapi gagal dijawab dengan baik.

Ketika media dibebaskan, permohonan mendapatkan lesen dilulus, undang-undang drakonian seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dimansuh, penguatkuasa bersikap lebih lunak, tiada lagi sebarang panggilan telefon amaran dari pejabat KDN, maka seharusnya agensi media kerajaan seperti Bernama dan RTM mempamerkan kualiti tahap tertinggi serta diuruskan secara profesional dan berintegriti.

Kerjaya sebagai pengamal media tidak lagi dianggap sebagai pengampu dan pembodek elit pemerintah. Wartawan khususnya menjadi profesion terhormat, agen perubahan dan semak-imbang, jurubicara masyarakat terpinggir, dan mampu memimpin pemikiran kritis.

Benar sekali telahan Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR, meskipun masih banyak janji pilihan raya yang tertunggak dan belum ditunaikan, namun apabila media sudah dibenarkan beroperasi dengan bebas dan tidak dikongkong, ini merupakan suatu kejayaan besar yang patut diraikan. Ia adalah pencapaian luar biasa bagi sebuah negara membangun.

Media yang tidak dikekang bermakna kita boleh menyaksikan pendedahan menteri yang menyeleweng, pembongkaran penguasa yang korup dan salahguna kuasa, liputan seimbang tentang rakyat yang menderita dan kroni rakus, laporan penyiasatan berfakta tentang skandal kewangan yang cuba disembunyikan. Dana awam dan wang pembayar cukai tidak mudah lagi untuk dibazirkan. Kuasa eksekutif boleh dipantau rapi.

Akhbar bebas memudahkan lagi agenda reformasi dilaksanakan secara tertib. Ia juga tidak hanya menyajikan ketirisan, pembaziran dan kecurian dana awam oleh regim yang telah ditumbangkan atau diktator pencen tetapi berpotensi sebagai “anjing penjaga” yang tidak senang dijinakkan pencuri, kepada kerajaan sedia ada.

Sebagai warga media — walaupun sudah uzur dan tidak produktif lagi — saya cukup bersyukur dengan iklim baharu yang menyegarkan ini. Suatu cabaran besar dan kritikal bagi setiap pejuang kebebasan akhbar, untuk memenuhi tanggungjawab selepas ruang selesa terhampar.

Ya, segala sekatan, peraturan dan budaya lampau belum sepenuhnya dimansuhkan atau berubah. Proses itu harus segera dilembagakan. Tiada tolak ansur untuk melambat-lambatkannya.

Buat teman-teman media, kita juga harus sepakat untuk terus menuntut pembaharuan walaupun pemerintah nampak komited dengan agenda perubahan.

Hubungan media-pemerintah, biar bagaimana baik pun, mungkin ada pasang surutnya. Kita, orang media, harus bersedia untuk mendaki gunung dan menuruni lembah dengan prinsip dan idealisme yang sama. Saya teringat pesan guru saya, “menggigit mereka yang terbabit, menggugat mereka yang terlibat”. 

Tiada ulasan: