Jumaat, 4 Januari 2019

KWSP: Pembelian tanah di Sg Buloh dijalankan secara profesional

MALAYSIAKINI

   

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menjelaskan bahawa pembelian sebidang tanah di Sungai Buloh oleh anak syarikat milik penuhnya, KWASA Land Sdn Bhd pada tahun 2012 telah dijalankan secara profesional.

Dalam satu kenyataan, KWSP menyatakan pembelian tanah seluas 944.13 hektar (2,330 ekar) dari Aset Tanah Nasional Berhad (ATNB), telah dilaksanakan secara saksama bagi tujuan membangunkan KWASA Damansara.

KWASA Damansara adalah sebuah bandar yang merangkumi pusat perumahan dan komersil serta infrastruktur dan kemudahan awam.

Menurut KWSP, pihaknya mengikut struktur pelaburan yang ketat yang memerlukan ia untuk menjalankan usaha wajar sebelum membuat sebarang transaksi.

“Harga pembelian sebanyak RM2.28 bilion adalah berdasarkan nilai pasaran yang adil berikutan lokasinya yang baik antara Kota Damansara dan Sungai Buloh.

“KWSP tidak mengetahui mengenai sebarang aturan selepas pembelian antara Lembaga Getah Malaysian dan ATNB sepertimana yang dibangkitkan oleh Menteri Industri Utama Teresa Kok,” katanya.

Semalam, Kok mendedahkan bahawa pada bulan Oktober 2010, ATNB memperoleh tanah dari Lembaga Getah Malaysia (MRB) pada harga RM1.5 bilion, yang didakwa dijual di bawah nilai pasaran.

Tanah itu kemudiannya dijual kepada KWSP oleh MRB pada harga RM2.28 bilion pada tahun 2012.


Tiada ulasan: