KUALA LUMPUR – Kertas siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) dijangka dapat dilengkapkan sepenuhnya pada Mac ini, kata Ketua
Polis Negara.
Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan masih diteruskan
secara menyeluruh melibatkan semua aspek dan akan dilengkapkan mengikut
tempoh masa yang diberikan.
“Bukan Julai..tarikh saya tak ingat tapi sebenarnya perlu
dilengkapkan menjelang Mac ini. Jadi, kita sedang mempergiatkan siasatan
berterusan, akan dilengkapkan secepat mungkin.
“Kita sentiasa mengadakan mesyuarat mingguan bulanan dalam perkara
ini proses berterusan yang saya tidak boleh memperincikan lagi.
“Bila siap sahaja kertas itu saya akan beri kepada Timbalan
Pendakwaraya atau Peguam Negara dan mereka akan beri arahan selanjutnya
dan kami akan tunggu arahan dari mereka,’ katanya dalam sidang media
hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Ronda Cegah
Jenayah melibatkan Pelatih Pulapol bersama Ketua Polis Negara di Berjaya
Times Square di sini hari ini.
Beliau turut diminta mengulas mengenai serbuan oleh Jabatan
Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Firma Guaman Rahmat Lim Partners
untuk mencari dokumen berkaitan 1MDB dan berkata;
“Saya tidak dimaklumkan lagi oleh pegawai saya mengenai serbuan itu
tetapi arahan telah kita keluarkan kalau ada keperluan untuk siasatan
maka saya rasa tiada masalah pun.
“Lagi pun, serbuan itu adalah sebahagian daripada proses
penyiasatan kami dan tidak salah kalau diserbu kerana ia bukan sesuatu
yang ganjillah..serbuan itu dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang
yang ada,” tegas beliau.
Sebuah portal berita kewangan melaporkan hari ini mengenai serbuan itu yang masih berterusan sehingga sekarang sejak pagi tadi.
Perkara itu juga disahkan oleh Pemangku Pengarah JSJK Bukit Aman,
Deputi Komisioner Datuk Saiful Azly Kamaruddin bahawa ia dilakukan di
firma yang terletak di Mid Valley City, Bangsar.
Terdahulu, The Edge melaporkan polis mencari dokumen berkaitan tiga
bon 1MDB yang dikendalikan oleh Goldman Sachs selepas mereka memperoleh
perintah mahkamah untuk menyerbu premis itu.
Rahmat Lim & partners dikatakan merupakan firma guaman yang
mewakili gergasi perbankan pelaburan Amerika Syarikat itu semas terbitan
bon 1MDB pada tahun 2012 dan 2013 berjumlah AS$6.5 bilion.
Saiful bagaimanapun enggan memperincikan butiran mengenai pencarian itu. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan