Isnin, 21 Januari 2019

Kerajaan tiada perancangan ekonomi mantap punca peniaga hilang keyakinan, kata ahli akademik


Keadaan ekonomi yang lemah diburukkan lagi oleh kejatuhan 
nilai mata wang serta harga barang yang meningkat.

KUALA LUMPUR: Punca peniaga hilang keyakinan pada suku pertama tahun ini adalah kerana tidak ada perancangan ekonomi yang jelas dan mantap daripada kerajaan yang boleh memberikan berita gembira kepada rakyat, kata Prof Madya Abu Sofian Yaacob.

Pensyarah di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu berkata, rakyat mengharapkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat menaikkan taraf hidup selepas mengambil alih kerajaan, tetapi perkara itu masih belum berlaku.

“Ini memberi kesan psikologi kepada rakyat dan ada antaranya yang mengaitkan dengan zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN), ditambah pula dengan kejatuhan nilai mata wang serta harga barang meningkat, terutamanya barangan mentah dan yang diimport dari luar negara.

“Jadi 2 faktor yang terserlah adalah kurangnya pendapatan dan harga barang yang semakin naik,” katanya kepada FMT.

Kata Abu Sofian, peniaga juga berasa kurang yakin dapat menjual barangan mereka serta menerokai bidang baru atau mengeluarkan produk baru kerana dikhuatiri tidak laku atau kurang mendapat sambutan.

“Kerajaan PH perlu mengetengahkan perancangan ekonomi lebih mantap dan meyakinkan bagi meringankan beban kos hidup rakyat, golongan B40 terutamanya,” katanya.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff pula berpendapat, tindakan kerajaan berjimat cermat dan tidak meneruskan beberapa projek mega dilihat memperlahankan prospek industri, terutamanya pembinaan dan ini membawa kesan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam industri tersebut.

“Pasaran saham tidak menentu di samping harga komoditi yang tidak stabil turut menjejaskan keyakinan industri tempatan untuk menarik pelaburan dan meneroka peluang perniagaan baru, selain faktor luaran seperti perang tarif AS-China juga menjejaskan peluang industri tempatan, terutama yang terlibat dalam import-eksport 2 negara itu.

“Kerajaan PH perlu memastikan golongan peniaga sentiasa dibantu dari segi kemudahan pembiayaan bersifat perkongsian ekuiti, latihan modal insan dalam menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi dan perjanjian perdagangan 2 hala dengan negara luar supaya peniaga dapat mengembangkan perniagaan ke pasaran lebih luas,” katanya.

Kajian Dun & Bradstreet mendapati Indeks Keyakinan Perniagaan (BOI) Malaysia menurun kepada 8.92 mata pada suku pertama 2019, berbanding 12.99 mata pada suku keempat tahun lepas susulan pertumbuhan industri seperti perdagangan borong berada dalam keadaan lemah.

Tiada ulasan: