Jumaat, 11 Januari 2019

‘Kalau dia cabar depan aku berhenti hari ini juga’

 
   
PRK CAMERON l Beberapa Tok Batin Orang Asli membidas seorang senator PKR berhubung amarannya bahawa mereka mungkin kehilangan gaji dan jawatan jika tidak mengundi kerajaan persekutuan pada pilihan raya kecil 26 Jan ini.

Bercakap kepada Malaysiakini selepas sesi dialog dengan tok-tok Batin di kubu BN di Pos Betau, Jelai, ketua Kampung Tanjung Belida, Batin Apam Pak Adui berkata senator Bob Manolan Mohd telah memperlekehkan mereka serta tidak layak menjadi pemimpin.

“Tak sedap! Seolah-olah macam itu nak jadi pemimpin, tak boleh.

“(Ini) bermakna (dia) menjatuhkan (maruah) seorang batin itu. Kalau dia cabar depan aku berhenti, aku berhenti hari ini juga. Letak jawatan, tak pergi mengundi.
“Sedangkan aku ada kebun, aku boleh hidup juga. Aku tak minta sedekah dari mana-mana,” kata Apam dengan nada berang.

Senator Bob Manolan Mohd semasa sesi dialog dengan Tok Batin dari 18 kampung Semai di Pos Betau, pagi tadi juga mengingatkan mereka supaya menyokong kerajaan pusat dan mengundi calon Pakatan Harapan.

Sementara itu, Ketua Kampung Chekai, Batin Karim Andung juga membidas pemimpin dari PKR itu.

“Kalau mengikut batin-batin memang ada menyinggung perasaan (kami) lah. Sebab mereka mengaku batin-batin yang tidak menyokong PH bahawa elaun kami akan potong dan jawatan dibuang.

“Jadi kami tak risau sangat, sekarang jika mereka nak buang, buang! Kita tak ada masalah, kalau betul nak sokong masyarat Orang Asli, jangan cakap macam itu,” katanya.

Malah menurut Karim, kerajaan persekutuan yang memerlukan bantuan tok batin dan sokongan masyarakat Orang Asli.

“Mereka bagi (jawatan dan gaji), kita ambil. Mereka tak bagi, tak ada masalah.

“Tapi kalau tak ada batin, tak ada penghulu, kerajaan mana boleh tuju kalau dia nak panggil orang macam dia nak buat program. Mereka pun tak kenal (Orang Asli),” katanya.
Seperti Apam, Karim berkata beliau juga mempunyai tanaman sendiri seperti pisang, getah dan kelapa sawit jika gaji dan jawatan mereka dilucutkan.

Bagi Ketua Kampung Jelengok, Batin Rangan Pak Chongkel, adalah hak mereka untuk mengundi calon pilihan masing.

“(Majlis) anjuran kerajaan negeri kita hadir dengar, kerajaan pusat kita hadir dengar
“Sebab kita orang dari segi elaun memang kerajaan pusat bayar, salur ke Jakoa.

“Tunjuk muka saja, ini (hati) orang tak nampak. Rahsia itu undi yang penting muka kena dedahlah,” katanya.

Masyarakat Orang Asli membentuk kira-kira 20 peratus daripada pengundi Cameron Highlands.

Tiada ulasan: