Sabtu, 12 Januari 2019

Haniza harap pengganti Nurul Izzah wanita juga

 
   

Wanita PKR berharap presidennya Anwar Ibrahim melantik pemimpin daripada sayap itu untuk mengisi dua jawatan yang ditinggalkan Nurul Izzah Anwar.

Ketua Wanita PKR Haniza Talha berkata, mereka mempunyai calon yang mampu memikul tanggungjawab sebagai naib presiden dan pengerusi PKR Pulau Pinang.

“Kita lebih suka jika calon wanita dilantik (bagi dua-dua jawatan itu) tapi kita tak akan ketepikan jika ada calon yang lebih baik.

“Rasanya ramai dalam Wanita PKR ada rekod yang baik, kita tak akan kecewakan (parti),” katanya ketika ditemui pemberita dalam satu program di Ampang, hari ini.

Pada 16 Disember lalu, Nurul Izzah membuat kejutan apabila melepaskan semua jawatannya dalam parti, selain berhenti berkhidmat dengan kerajaan persekutuan.

Beliau sebelum itu menjadi pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

Malaysiakini difahamkan tiga calon sudah disenarai pendek untuk mengisi jawatan pengerusi PKR Pulau Pinang.

Mereka ialah Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Bakhtiar Wan Chik, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Adun Batu Maung Abdul Halim Hussain.

Ditanya sama ada Wanita PKR perlu menghantar nama calon kepada Anwar, Haniza berkata pihaknya tidak perlu berbuat demikian dan menyerahkan sepenuhnya kepada Anwar.

“Kita tak nak kawal tindakan presiden, secara demokrasi pilihlah calon terbaik dan pilihlah wanita,” katanya.


Tiada ulasan: