Khamis, 10 Januari 2019

Disiplin anggota Kabinet dipertikai selepas reaksi keterlaluan menteri

Darell Leiking secara terbuka mencemuh cadangan Redzuan Yusof 
untuk bidang kuasa lebih besar.
 
PETALING JAYA: Disiplin organisasi di kalangan pemimpin kerajaan Pakatan Harapan dipertikaikan, susulan maklum balas kurang diplomatik seorang menteri kepada rakan sejawatan dalam Kabinet yang mencadangkan perluasan bidang kuasanya.

Sumber memberitahu FMT, ramai pegawai kanan tidak senang dengan kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking terhadap cadangan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof memperluaskan kementeriannnya.

“Leiking bertindak balas keterlaluan terhadap komen Redzuan,” kata sumber itu kepada FMT sambil menambah ramai merasakan Leiking yang juga timbalan presiden Warisan, tidak menunjukkan semangat berpasukan.

Redzuan dilaporkan berkata, beliau membayangkan skop kementeriannya diperluaskan untuk merangkumi perdagangan dan pelaburan.

Leiking kemudian berkata, menteri perlu memfokuskan peranan dan portfolio mereka untuk membantu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir negara.

Katanya, setiap kementerian mempunyai peranan berbeza dan tanggungjawab Kementerian Pembangunan Usahawan ialah menggalakkan pembangunan semua usahawan.

Sumber itu memetik seorang pegawai kanan yang memberitahunya Leiking nampaknya tidak jelas mengenai bidang keusahawanan.

“Ia meliputi semua sektor ekonomi, daripada pertanian kepada kesihatan dan pengangkutan.

Sesetengah isu mungkin ada kaitan lebih daripada sebuah kementerian,” kata sumber itu memetik pegawai kanan.

“Apabila Kementerian Pembangunan Usahawan terbabit dalam keusahawanan pertanian, ia tidak bermakna ia bersaing dengan Kementerian Pertanian.

“Begitu juga apabila seorang usahawan meneroka perdagangan antarabangsa, ia tidak bermakna ia bersaing dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.Pegawai itu berkata, usahawan bukan sekadar peniaga kecil-kecilan.

“Anda bercakap mengenai setiap orang, daripada usahawan kredit mikro kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes. Beliau juga seorang usahawan, tetapi pada skala lebih besar.

“Leiking bersikap mempertahankan diri tanpa sebab.”

Tiada ulasan: