Isnin, 21 Januari 2019

Didakwa 'gagal besar', Khalid arah Yayasan WP siasat program balik ke sekolah

MALAYSIAKINI

   

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata beliau sudah mengarahkan Yayasan Wilayah Persekutuan untuk membuat siasatan terhadap masalah program balik ke sekolah oleh yayasan itu.

Beliau meruju laporan Malaysiakini semalam yang antara lain menyebut murid di dua sekolah rendah jenis Cina menerima seluar panjang dengan saiz pinggang 38 inci dan kasut bayi daripada yayasan itu.

"Setakat ini terdapat aduan yang diterima berkaitan saiz kasut dan seluar.

"Saya sudah mengarahkan ketua pegawai eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan untuk membuat siasatan dan memberikan laporan kepada saya," katanya dalam kenyataan.

Beliau memaklumkan program balik ke sekolah yayasan itu akan menggunakan sistem kupon bermula tahun depan, bukan lagi memberikan barangan kepada penerima.

Menurutnya, pada tahun ini sejumlah 20,000 pelajar di seluruh Wilayah Persekutuan - termasuk Putrajaya dan Labuan - menerima sumbangan, dengan 3,250 daripadanya menerima beg dan baucer berjumlah RM100.

Dalam laporan semalam, Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng menyifatkan program tahunan itu mengalami "kegagalan besar" pada tahun ini kerana berdepan masalah penangguhan penyerahan serta jumlah barangan yang tidak cukup dan tidak tepat.

Misalnya beliau memaklumkan terdapat 401 pelajar dari 11 buah sekolah rendah di Kepong yang layak menerima bantuan, tetapi setakat ini hanya tujuh sekolah yang mendapatnya.

Dalam pada itu Khalid berkata kementeriannya tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melakukan kesalahan dan akan dikenakan tindakan sewajarnya.

"Tiada cover up. Apa jua agenda yang terselindung, kala ada, akan terbongkar," katanya lagi.


Tiada ulasan: