Jumaat, 11 Januari 2019

Bekas CEO Kumpulan Perak Corporation Berhad didakwa atas tuduhan rasuah

THE MALAYSIAN TIMES
 


IPOH-: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan di Perak Corporation Berhad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah berupa pembayaran membina rumah banglo miliknya yang bernilai hampir RM500,000.

Datuk Aminuddin Md Desa, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Aminuddin didakwa menerima suatu benda yang berharga iaitu pembayaran bagi kerja-kerja pembinaan rumah banglo di Mukim Hulu Kinta berjumlah RM455,660 dengan tiada balasan daripada Chua Kim Weng iaitu Pengarah Uni-Poh Construction Works Sdn Bhd.

Tertuduh mengetahui Chua mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh iaitu melibatkan kontrak cadangan kerja-kerja infrastruktur utama dan lain-lain kerja berkaitan di Bandar Meru Raya 2 (Zon 9) Mukim Hulu Kinta.

Tertuduh yang ketika itu merupakan penjawat awam didakwa melakukan perkara itu di Public Bank Berhad cawangan Jalan Sultan Idris Shah pada 17 Jan hingga 3 Julai 2017.

Aminuddin didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh mencadangkan mengenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh selain menyerahkan pasportnya kepada SPRM.

Bagaimanapun, peguam Najmi Damawi Abd Hamid yang mewakili Aminuddin memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM15,000 atas alasan anak guamnya memberi kerjasama yang baik selain mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang sejak 2013 ketika memegang jawatan tersebut.

Hakim Indra Nehru kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada SPRM selain menetapkan 22 Feb depan untuk sebutan semula serta pengurusan kes.–Bernama

Tiada ulasan: