Khamis, 10 Januari 2019

Amaran buat kepala-kepala yang mahu 'jatuhkan' Ameir Hassan

MALAYSIAKINI

   

Pengerusi Bersatu Perlis Ameir Hassan memberi amaran untuk mengambil tindakan disiplin kepada kepada ‘kepala-kepala’ yang didakwa cuba menjatuhkannya.

“Mereka mahu jatuhkan saya. Mereka bukan mewakili parti atau akar umbi. Bukan dasar kita untuk kumpul dan buat desakan.

“Kita akan ambil tindakan disiplin kepada ‘kepala-kepala’ terlibat ini,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kemelut dalaman Bersatu Perlis makin parah dengan Ameir didesak meletakkan jawatan oleh hampir keseluruhan kepemimpinan bahagian, cawangan dan sayap-sayap.

Kesemua mereka diketuai Timbalan Pengerusi Bersatu negeri Izizam Ibrahim mengadakan sidang akhbar di Kangar bagi menyatakan hilang kepercayaan kepada Ameir.

Izizam berkata hampir separuh ahli jawatankuasa Arau menandatangani petisyen memohon Majlis Pimpinan Pusat menggantikan Ameir manakala Kangar dan Padang Besar menghantar memorandum dan aduan.

"Beliau juga menjadikan parti seolah-olah milik keluarga dan rakan-rakannya iaitu dengan melantik mereka dalam kalangan ahli keluarga, kenalan rapat sebagai ahli jawatankuasa sama ada di peringkat bahagian atau negeri,” beliau dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, dalam Sinar Harian hari ini melaporkan Ameir tidak akan tunduk pada sebarang desakan mahupun melayan permintaan sesetengah pihak dalam parti itu yang mahu beliau melepaskan jawatan.

Beliau mendakwa desakan itu datang daripada “askar upahan” pihak tertentu dan mengugut mengambil tindakan disiplin terhadap pihak yang terlibat.

Beliau juga menyifatkan Izizam tidak layak untuk bercakap kerana beliau sedang melalui proses siasatan disiplin bahagian Padang Besar.

Beliau juga mendakwa bekas setiausaha negeri Wan Saiful Wan Jan yang disifatkan cuba melakukan kekecohan dalam parti.

“Saya bawa Wan Saiful, dengan harapan untuk gantikan saya selepas ini.

“Dia seorang pemimpin yang cerdik, tetapi seseorang itu tidak akan jadi pemimpin yang baik kalau mahu jadi jaguh atau nak populariti semata-mata,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan Wan Saiful berkaitan dakwaan itu.

Kemelut dalaman Bersatu meledak selepas Wan Saiful menyerang kepimpinan negeri selepas dipecat oleh Ameir baru-baru ini.


Tiada ulasan: