Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh mencadangkan agar janji Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk melantik peguam negara (AG) dari kalangan anggota parlimen (MP) dikaji semula.
Menurutnya, dengan melaksanakan janji itu akan mengehadkan bakat yang ada kerana kemungkinan yang bukan anggota parlimen lebih layak.
"Situasi yang juga mungkin timbul apabila tiada anggota parlimen yang sesuai yang mana semestinya adalah tidak munasabah mengehadkan pilihan calon peguam negara hanya dari kalangan anggota parlimen.
"Tidak dapat diragukan, mungkin ada calon yang berpotensi untuk jawatan peguam negara yang kebetulan adalah anggota parlimen tapi tidak semestinya hanya anggota parlimen yang dipertimbangkan untuk jawatan itu.
"Peguam negara perlu mempunyai pemahaman yang mendalam tentang jenayah undang-undang sivil dan undang-undang jenayah dan boleh bertindak tanpa takut atau memberi kelebihan kepada pihak tertentu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, katanya, jawatan peguam negara perlu dibuka kepada semua calon yang mempunyai kriteria yang diperlukan dan tidak hanya dari kalangan anggota parlimen.
Di bawah Janji 15 manifesto HARAPAN, kerajaan berikrar mengasingkan peranan peguam negara dan pendakwa raya.
HARAPAN juga berjanji agar peguam negara dilantik dari kalangan anggota parlimen, sementara individu yang tidak terikat dengan mana-mana parti dilantik sebagai pendakwa raya dan akan diberikan autonomi sepenuhnya ke atas kuasa pendakwaan.
Janji itu dibangkitkan semula susulan laporan semalam yang mengatakan HARAPAN mengemukakan nama Tommy Thomas, yang bukan anggota parlimen, sebagai calon tunggal untuk menjadi peguam negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan