ULASAN | Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu merupakan satu sejarah baharu buat negara kita Malaysia apabila BN yang merupakan parti pemerintah sejak lebih 60 tahun lalu tewas kepada gabungan parti setahun jagung iaitu Pakatan Harapan (HARAPAN).
Keputusan PRU14 itu bukan sahaja mengejutkan rakyat Malaysia malah negara-negara di Asia Tenggara seakan tidak percaya dengan keputusan itu.
Ini dapat dilihat apabila media-media utama di negara-negara Asia Tenggara dan Asia lain tidak putus-putus membuat liputan mengenai transisi kerajaan ketika itu.
Mana tidaknya, BN bukan sahaja sebuah parti yang sentimental dan berjasa kepada rakyat Malaysia selama ini tetapi ia juga merupakan parti yang berpengaruh serta dihormati di Asia Tenggara.
Bagaimanapun, pada PRU14 BN tampil dengan cerita berbeza. Ini kerana, buat kali pertamanya dalam sejarah pilihan raya umum di negara kita, BN dilihat lemah dan tidak berpengaruh.
Malah, ia hanya bergantung harap kepada parti terbesar dalam gabungan itu semata-mata iaitu Umno kerana gabungan lain seperti MCA dan MIC hampir lumpuh serta telah hilang kepercayaan daripada masyarakat yang diwakili mereka.
Umno pula semakin tertekan. Bergerak berseorangan di sepanjang musim kempen. Berbeza dengan HARAPAN yang nampak erat persaudaraan di kalangan parti gabungan di dalamnya.
Tidak ada parti yang keseorangan. Baik wakil yang mewakili Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahupun DAP, mereka tetap bergerak bersama membawa panji Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Kurang pemimpin muda
Apa pun ceritanya, PRU14 adalah manifestasi anak muda. Segala isu yang ditimbulkan disebarkan oleh anak-anak muda menerusi media-media sosial. Mereka mula meniupkan angin perubahan dan sama-sama mengajak untuk mewujudkan apa yang dikenali sebagai Malaysia Baharu.
Umno pula tidak pernah berubah, ketika HARAPAN meletakkan ramai calon orang muda, Umno pula masih lagi konservatif. Lebih gemar meletakkan calon-calon orang lama berbanding orang muda untuk mewakili parti tersebut. Walaupun tidak dinafikan memang ada calon muda, cuma jumlahnya tidak ramai.
Berbeza dengan HARAPAN. Mereka menjadikan calon muda sebagai satu fenomena. Calon-calon seperti Syed Saddiq Abdul Rahman dari Muar dan Syefura Othman yang menang di Ketari menggambarkan betapa mereka menjanjikan satu perubahan kepada Malaysia.
Bayangkan, Syed Saddiq yang seawal usia 25 tahun telah diberi kepercayaan untuk mewakili masyarakat Muar di Parlimen. Tidak cukup dengan itu, wakil rakyat dari Parlimen Batu iaitu Prabakaran hanya berusia 22 tahun.
Walaupun beliau bolehlah dianggap sebagai wakil rakyat tangkap muat kerana pada asalnya beliau bertanding atas tiket bebas akan tetapi takdirnya untuk menjadi wakil rakyat tercipta selepas HARAPAN memberi endorsement kepadanya susulan kegagalan Tian Chua untuk dicalonkan atas faktor perundangan.
Pemimpin kitar semula
Kesemua anak muda HARAPAN ini kini berada di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Mereka akan mewakili suara anak-anak muda yang merupakan penggerak kepada Malaysia Baharu.
Namun, selepas HARAPAN menjadi kerajaan, cerita perubahan melibatkan anak muda itu dilihat sebagai satu retorik semata-mata.
Mungkin anak-anak muda yang disebutkan tadi menjadi calon HARAPAN kerana mereka tidak ada pilihan. Pendek kata, mereka tidak ada calon. Akhirnya, terpaksa menjadikan calon muda ini sebagai calon bidan terjun.
Cakap-cakap ini mula kedengaran. Mana tidaknya, selepas hampir sebulan kerajaan dibentuk, masih tidak ada anak muda yang diangkat memegang jawatan penting di dalam Kerajaan.
Yang ada cumalah Majlis Penasihat yang dianggotai oleh orang-orang lama di penghujung usia. Orang-orang lama diangkat kononnya untuk menyelamatkan Malaysia.
Walhal, angin perubahan itu sebenarnya ditiup oleh anak muda. Bukannya, pemimpin kitar semula seperti mereka-mereka itu.
Pokok pangkalnya, kini adalah zaman anak muda. Apatah lagi separuh daripada jumlah keseluruhan pengundi di Malaysia adalah anak muda berusia 21 hingga 39 tahun. Maka biarlah orang muda yang tentukan hala tuju Malaysia.
Kepada Umno pula, jika benar-benar mahu berubah, parti itu perlu memberi laluan kepada lebih ramai orang muda. Jangan hidup di alam fantasi lagi. Hanya pemimpin-pemimpin muda sahaja yang mampu mengembalikan kepercayaan orang ramai kepada parti Melayu terbesar di negara kita ini.
Pemimpin-pemimpin sayap Pemuda di peringkat pusat, bahagian mahupun cawangan perlulah berani ke hadapan menawarkan diri untuk memegang jawatan penting di dalam parti.
Untuk jawatan di dalam sayap Pemuda, berilah kepada yang berumur di bawah 40 untuk mengisinya. Mereka di atas 40 pergilah ke peringkat yang lebih tinggi.
Dengan cara ini, Umno pasti mampu berubah. Umno pasti mampu mengembalikan kepercayaan rakyat kepadanya pada PRU akan datang. Janganlah takut-takut lagi wahai anak muda di dalam Umno. Pergilah bertanding!
Wan Agyl Wan Hassan merupakan pengerusi Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab Umno Luar Negara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan