Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
KUALA SELANGOR: Majlis Pelancaran Jelajah Pakatan Harapan (PH) di
Stadium Kuala Selangor malam tadi bertukar menjadi acara pengumuman
calon PKR untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan satu
persatu nama calon yang akan mewakili PKR di peringkat DUN dan
Parlimen.
Timbalan Presiden PKR, yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri
Mohamd Azmin Ali diumumkan kekal di kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit
Antarabangsa.
Manakala Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin kekal di Parlimen Ampang.
Beberapa penyandang kerusi di Selangor nampaknya digugurkan daripada
senarai calon pilihan raya antaranya Gan Pei Nie (penyandang kerusi DUN
Rawang), Yaakob Sapari (penyandang kerusi DUN Kota Angerik) dan G.
Manivanan (penyandang kerusi Parlimen Kapar).
Beberapa calon muka baru diumumkan antaranya bekas pengerusi BERSIH
Maria Chin Abdullah (kerusi Parlimen Petaling Jaya) dan Hilman Idham
(kerusi DUN Gombak Setia).
Hilman adalah pegawai khas kepada Azmin.
Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar pula bertukar daripada kerusi
DUN ke kerusi Parlimen Kuala Langat dan Datuk Abdullah Sani berpindah ke
kerusi Parlimen Kapar.
Berikut adalah senarai kerusi dan calon DUN dan Parlimen Selangor.
PARLIMEN
Hulu Selangor: Leow Hsiad Hui
Selayang: William Leong
Gombak: Azmin Ali
Ampang: Zuraidah Kamaruddin
Subang: Wong Chen
Petaling Jaya: Maria Chin Abdullah
Sungai Buloh: Sivarasa Rasiah
Kapar: Abdullah Sani
Kuala Langat: Xavier Jayakumar
DUN:
Sungai Panjang: Mohd Fauzi Ahmad
Permatang: Rozana Zainal Abidin
Bukit Melawati: Sivamalar Ganapathy
Ijok: Idris Ahmad
Rawang: Chua Wei Kiat
Sungai Tua: Amiruddin Shaari
Gombak Setia: Hilman Idham
Bukit Antarabangsa: Azmin Ali
Lembah Jaya: Hanisza Talha
Kajang: Hee Loy Sian
Seri Setia: Najwan Halimi
Taman Medan: Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri
Bukit Lanjan: Elizabeth Wong Keat Peng
Kota Damansara: Shatiri Mansor
Kota Anggerik: Shaharuddin Badarudin
Batu Tiga: Rodziah Ismail
Sementa: Daroyah Alwi
Pelabuhan Klang: Azmizam Zaman Huri
Sentosa: Dr Gunaraj George
Sungai Kandis: Shuhaimi Shafiee
Tanjong Sepat: Borhan Aman Shah
Bagaimanapun nama calon untuk kerusi parlimen Pandan tidak diumumkan.
Pandan mencatatkan kemenangan paling besar buat PKR dalam PRU ke-13
lalu. Bagaimanapun penyandangnya Rafizi Ramli, tidak bertanding kali
ini.
Ditanya selepas majlis ceramah itu, Wan Azizah menjelaskan beliau sengaja tidak mengumumkan nama calon untuk kerusi Pandan.
"Saya memikirkan Rafizi. Tidak mudah (untuk melakukannya) kerana undang-undang tidak memihak kepada dia," katanya.
Azizah kemudiannya meminta semua pihak agar akur dan berlapang dada menerima keputusan yang dibuat pucuk pimpinan PKR.
"Apabila kita menghadapi PRU akan datang, ada juga (nama) yang tercicir, ada juga yang tidak terpilih.
"Jangan lupa (kepada) pengorbanan ramai untuk kita sampai ke tahap ini.
"Mungkin ada mungkin tidak tercatat, mungkin ada yang terasa, mungkin
ada yang kehilangan, namun kita nak kemenangan, betul tak?" katanya.
Dianggarkan kira-kira 5,000 orang memenuhi Stadium Mini Kuala Selangor semasa ceramah itu berlangsung.
Turut menyampaikan ucapan ialah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr
Mahathir Mohamad, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib
Presiden Amanah Hasanuddin Mohd Yunus.
No comments:
Post a Comment